Polis ingatkan penyokong parti politik patuh undang-undang

Suasana di pekarangan Pintu Dua Istana Negara hari ini. -Foto Bernama
Suasana di pekarangan Pintu Dua Istana Negara hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penyokong parti politik diingatkan untuk patuhi undang-undang bagi memastikan proses demokrasi dan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri di Istana Negara, di sini pada Khamis berjalan lancar.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, tindakan tegas akan diambil oleh pihak polis bagi mana-mana penyokong parti politik yang melakukan provokasi.

"Usah melakukan provokasi atau menimbulkan sebarang isu termasuk perkauman dan agama, tidak memuat naik sebarang ‘posting’ atau apa juga sisipan di media sosial yang boleh mendatangkan kegusaran atau salah faham pada masyarakat umum.

"Tindakan tegas akan diambil kepada penyokong mana-mana parti yang terlibat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, orang ramai turut diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi serta tindakan yang menyalahi undang-undang.

Katanya, sebarang maklumat yang berkaitan bolehlah hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/585, Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri dijadual pada jam 5 petang, Khamis di Istana Negara.

Pelantikan Anwar yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan juga Presiden PKR itu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

Artikel Berkaitan: