ABIM lancar kempen seru pertahan keharmonian kaum

Orang ramai menjayakan kempen tanda pagar #KitaKawan anjuran ABIM yang bertujuan menolak sifat perkauman di negara ini.
Orang ramai menjayakan kempen tanda pagar #KitaKawan anjuran ABIM yang bertujuan menolak sifat perkauman di negara ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) melancarkan kempen tanda pagar #KitaKawan #SebarkanSalam #TolakKebencian #SayangiMalaysiaku bertujuan memupuk suasana harmoni dalam kalangan masyarakat Malaysia berbilang bangsa.

Naib Presiden ABIM, Zairudin Hashim berkata, kempen tersebut sebagai peringatan kepada seluruh masyarakat terhadap keharmonian hidup yang telah utuh dibina sekian lama, maka sewajibnya perkara itu dipertahankan.

Katanya, semangat kasih sayang serta suasana harmoni masyarakat Malaysia berbilang bangsa perlu dipertahankan demi kemakmuran negara dan bukannya dibakar oleh api perkauman pihak berkepentingan sempit.

"ABIM menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan warna kulit, fahaman agama mahupun ideologi politik untuk bersama-sama memuat naik gambar mahupun video berunsur perpaduan kaum di media sosial masing-masing dengan tanda pagar yang dilancarkan oleh ABIM ini.

"Ia bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, maka kita semua mempunyai tanggungjawab untuk membawa mesej kasih sayang dan menjauhi kebencian kaum," katanya dalam satu kenyataan.

Zairudin Hashim
Zairudin Hashim

Mengulas lanjut, Zairudin berkata, seluruh rakyat Malaysia perlu mempertahankan keharmonian kaum walau dalam apa jua keadaan sekali pun demi memastikan negara terus kekal aman harmoni dan mencapai kejayaan.

Menurutnya, sesi kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu menyaksikan semangat perkauman dijadikan modal kempen politik dan perkara itu adalah tidak baik untuk kelangsungan rakyat berbilang kaum serta agama di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu tegasnya, ABIM memandang berat kebimbangan rakyat terhadap sentimen perkauman ekoran daripada sesi ceramah politik yang berbaur perkauman baru-baru ini.

Dalam hal tersebut, ABIM menyambut baik ketegasan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta warga Malaysia yang prihatin untuk membanteras gejala tidak baik yang dilaporkan telah merebak menerusi aplikasi media sosial.

"Umat Islam diseru merujuk kepada model yang digagaskan ilmuwan terkemuka, Al-Biruni untuk berinteraksi antara agama serta kaum yang berbeza, meliputi konsep saling mengenali untuk memadam sebarang prasangka.

"Model ini mengingatkan kita untuk saling berkenalan serta tidak mengasingkan diri dalam kelompok sendiri semata-mata. Sebagai contoh, setiap kekurangan individu misalnya tidak boleh dibabitkan kepada kaumnya.

"Hal ini turut meliputi sikap negatif serta kelakuan buruk yang tidak seharusnya dijustifikasikan untuk menghukum sesuatu kaum serta pegangan agama tertentu," katanya.

Tambahnya lagi, Islam serta fahaman-fahaman agama lain di dunia tidak pernah menghasut para penganutnya untuk membenci antara satu sama lain.

Jelasnya, kebencian terhadap kelompok yang berbeza terbit daripada sikap taksub serta jiwa yang tertutup terhadap kepelbagaian serta perbezaan yang wujud.

Selain itu katanya, rakyat diingatkan untuk patuh titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang tidak mahu sesiapa sekali pun merampas keharmonian kaum di negara ini.