Bantuan Zakat Khas MAIWP-Insani santuni asnaf

Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar (tengah) bersama Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya (kiri) dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MAIWP, Mohd Fauzi Abidin bergambar dengan wakil-wakil penerima Bantuan Zakat Khas MAIWP-Insani yang hadir pada sesi penyerahan bantuan itu, pada Selasa.
Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar (tengah) bersama Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya (kiri) dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MAIWP, Mohd Fauzi Abidin bergambar dengan wakil-wakil penerima Bantuan Zakat Khas MAIWP-Insani yang hadir pada sesi penyerahan bantuan itu, pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengambil tindakan proaktif menyalurkan bantuan menerusi program Bantuan Zakat Khas MAIWP-Insani kepada asnaf di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar berkata, seramai 73,895 penerima dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM50 juta diperuntukkan dan akan disalurkan secara berperingkat sehingga Disember ini.

Menurutnya, menerusi program bantuan ini, seramai 30,000 orang penerima Bantuan Kewangan Bulanan akan menerima bantuan zakat khas RM1,000 seorang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM30 juta.

“Sebanyak RM250 telah dibayar pada Ogos lalu, manakala baki sebanyak RM750 akan dibayar pada Disember ini.

“Bagi Bantuan Am Persekolahan, seramai 36,750 orang penerima akan menerima zakat khas RM200 seorang dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM7.35 juta,” katanya dalam sidang media sempena majlis penyerahan Bantuan Zakat Khas MAIWP-Insani di Dewan Seminar Bangunan Perkim di sini, pada Selasa.

Turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MAIWP, Mohd Fauzi Abidin.

Jelas Mohd Daud, MAIWP turut memperuntukkan RM3.3 juta kepada 6,600 orang penerima Bantuan Am Pelajaran IPT yang bakal menerima zakat khas sebanyak RM500 seorang.

Sebanyak 530 buah institusi melibatkan sekolah rendah dan menengah, Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) serta tahfiz di seluruh Wilayah Persekutuan, turut menerima bantuan khas sebanyak RM30,000 bagi setiap institusi dengan perbelanjaan keseluruhan RM15.9 juta untuk membiayai pelaksanaan aktiviti pelajar asnaf dan pembaikan infrastruktur.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak RM950,000 juga dibelanjakan bagi Bantuan Khas Tabung Kebajikan Hospital untuk menampung kos-kos rawatan asnaf di 15 buah hospital.

Beliau berkata, bermula Januari hingga Oktober tahun ini, MAIWP telah mengagihkan hampir RM700 juta dana zakat menerusi bantuan secara langsung dan tidak langsung kepada asnaf yang memerlukan.

Katanya, kemampuan untuk menyediakan peruntukan yang besar berjaya dilaksanakan oleh MAIWP hasil komitmen para pembayar zakat di Wilayah Persekutuan dan luar Wilayah Persekutuan.

“Saya mewakili MAIWP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pembayar zakat melalui Pusat Pungutan Zakat MAIWP kerana dengan zakat anda, MAIWP mampu melaksanakan amanah membantu mereka yang memerlukan.

“Selain berzakat, orang ramai juga perlu menjadi mata atau telinga dengan membantu melaporkan kesusahan masyarakat di sekeliling anda kepada MAIWP,” kata Mohd Daud.

Orang ramai dialu-alukan membuat laporan menerusi aplikasi telefon pintar Mobil Jejak Asnaf (MoJA) bagi memudahkan Skuad Jejak Asnaf Baitulmal dan MAIWP turun padang membantu.

Mereka yang layak menunaikan zakat disarankan untuk menunaikan tanggungjawab menerusi www.zakat.com.my atau menerusi aplikasi MyZakat.