Jepun malukan Jerman

Doan menyumbat gol penyamaan Jepun ketika aksi menentang Jerman di Stadium Antarabangsa Khalifa sebentar tadi. Foto EPA
Doan menyumbat gol penyamaan Jepun ketika aksi menentang Jerman di Stadium Antarabangsa Khalifa sebentar tadi. Foto EPA
A
A
A

SELEPAS Arab Saudi, satu lagi wakil Asia, Jepun mencipta kejutan terbesar pada kempen Piala Dunia 2022 selepas melakar kemenangan 2-1 ke atas Jerman di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha sebentar tadi.

Seperti diramal, Jepun mempamerkan semangat juang tinggi sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung untuk mengejutkan Jerman yang juga juara dunia empat kali dalam aksi sulung Kumpulan E itu.

Jerman pula seharusnya menyalahkan diri sendiri kerana gagal menyudahkan deretan peluang bagi merobek gawang Jepun tatkala mereka menguasai perlawanan sebaik wisel permulaan dibunyikan.

Jepun terlebih dahulu menggegar gawang Jerman apabila Daizen Maeda berjaya menolak masuk bola hasil hantaran lintang Junya Ito seawal minit kelapan.

Bagaimanapun, jaringan tersebut dibatalkan kerana Maeda dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Jerman mula tampil dengan lebih tersusun untuk mengawal permainan dan usaha mereka membuahkan hasil menerusi sepakan penalti Ilkay Gundogan pada minit ke-33.

Sepakan penalti itu diberikan selepas penjaga gol Jepun, Shuichi Gonda melakukan kekasaran terhadap David Raum dalam kawasan penalti.

Kai Havertz hampir melebarkan kedudukan buat Jerman pada masa kecederaan, namun jaringannya dibatalkan kerana dia berada dalam kedudukan ofsaid.

Artikel Berkaitan:

Bersambung babak kedua, Jerman tampak makin bersemangat menambah jaringan, namun Gonda kental bertahan bagi menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.

Pujian buat Gonda apabila dia berjaya menyelamatkan empat percubaan berbahaya berturut-turut yang mana tiga daripada menerusi Serge Gnabry.

Pada ketika Jerman giat mengasak kubu lawan, Jepun berjaya memperoleh gol penyamaan menerusi Ritsu Doanyang menyudahkan hantaran lintang Takumi Minamino pada minit ke-75.

Gol tersebut nyata menyemarakkan lagi semangat skuad Samurai Biru sehingga mereka berjaya menambah jaringan kedua menerusi Takuma Asano berselang lapan minit kemudian.

Jerman cuba bangkit untuk mendapatkan jaringan, namun barisan pertahanan Jepun kental bertahan sehingga wisel penamat dibunyikan.

Pada Selasa, Arab Saudi berjaya melakar kejutan selepas menewaskan gergasi Amerika Selatan yang juga juara Copa America 2021, Argentina 2-1 di Stadium Lusail.