Polis Pahang sahkan Superman Hew ditahan

Hew Kuan Yaw atau Superman Hew - Foto Bernama (kredit: Fb Kuan Yaw Hew)
Hew Kuan Yaw atau Superman Hew - Foto Bernama (kredit: Fb Kuan Yaw Hew)
A
A
A

KUANTAN - Polis Pahang mengesahkan seorang penceramah, Hew Kuan Yaw, 52, atau lebih dikenali 'Superman Hew' ditahan pada Rabu susulan penularan video ceramah berhubung satu ucapan mengandungi unsur-unsur yang boleh menggugat ketenteraman awam di Raub Perdana pada 17 November lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf memberitahu, tangkapan itu dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Pahang dengan bantuan dari JSJ Bukit Aman di kawasan Puchong Jaya, Selangor.

Menurutnya, pihak polis telah menjalankan siasatan ke atas penularan video ceramah parti politik di kawasan Raub Perdana oleh penceramah terbabit dalam bahasa Kantonis.

"Sebahagian daripada rakaman video berkenaan telah ditularkan di media massa serta media sosial dan mendapat reaksi negatif masyarakat.

"Siasatan dijalankan bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu kesalahan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan permohonan reman akan dibuat bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) bagi pihak polis untuk mendapatkan keterangan-keterangan lanjut.

Ramli berkata, siasatan juga turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu kesalahan kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian telekomunikasi.

"Selain itu, penama turut disiasat bawah seksyen sama bagi ucapannya dalam satu program ceramah politik di Taman Pandan Mawar, Melaka pada 18 November lalu.

Artikel Berkaitan: