Manchester United, Ronaldo berpisah

Ronaldo - Foto Agensi
Ronaldo - Foto Agensi
A
A
A

GERGASI Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United mengesahkan bintang The Red Devils, Cristiano Ronaldo meninggalkan The Old Trafford berkuat kuasa serta-merta.

"Cristiano Ronaldo akan meninggalkan Manchester United dengan persetujuan bersama, berkuat kuasa serta-merta.

Kelab mengucapkan terima kasih atas sumbangan besarnya sepanjang dua musim di Old Trafford, menjaringkan 145 gol dalam 346 penampilan, dan mendoakan yang terbaik untuk beliau dan keluarganya pada masa depan.

"Semua orang di United tetap fokus untuk memajukan pasukan di bawah Erik ten Hag dan bekerjasama untuk mencipta kejayaan di padang," kata United dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kapten Portugal itu sebelum ini mencetuskan kontroversi susulan temu bual sensasi bersama Piers Morgan.

Pada program bersama Morgan itu, bekas pemain Sporting Lisbon, Real Madrid dan Juventus tersebut membuat dakwaan buruk terhadap kelab, pemilik keluarga Glazers, pengendali Erik ten Hag dan rakan sepasukannya di Old Trafford.

Difahamkan pengurusan kelab sebelum ini memulakan proses undang-undang untuk memecat Ronaldo secara efektif dengan merombak kontrak 500,000 pound (RM2.7 juta) seminggu pemain tersebut.

Sementara itu, Ronaldo berkata, dia bersetuju untuk menamatkan kontrak bersama Manchester United selepas mengadakan perbincangan dengan pengurusan kelab Inggeris itu.

"Saya suka Manchester United dan menyayangi para penyokong, itu tidak akan pernah berubah.

"Rasanya masa yang sesuai untuk mencari cabaran baharu.

"Saya mendoakan yang terbaik buat Manchester United,” katanya.