Buruh warga China maut ketika pasang besi jambatan

Lokasi mangsa rebah ketika melakukan kerja-kerja memasang besi jambatan di Kampung Kandis Bukit Yong Pasir Puteh pada Sabtu.
Lokasi mangsa rebah ketika melakukan kerja-kerja memasang besi jambatan di Kampung Kandis Bukit Yong Pasir Puteh pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang buruh warga China disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) selepas ditemukan tidak sedarkan diri di tempat kerjanya pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, lelaki itu dipercayai rebah ketika menjalankan kerja-kerja memasang besi jambatan di Kampung Kandis Bukit Yong Pasir Puteh.

Beliau memberitahu, mangsa, Qiu DaoQing, 51, merupakan pekerja East Coast Rail Link (ECRL), Pasir Puteh.

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 11 pagi, mangsa yang berada di lokasi itu sendirian dikatakan rebah secara tiba-tiba.

"Dia terbaring bersebelahan tiang jambatan yang dalam pembinaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelasnya, mangsa yang beralamat di Kampung Wakaf Lichong dibawa ke HRPZII oleh staf ECRL selepas menyedari kejadian tersebut.

Tambah Zaizul Rizal, pegawai perubatan HRPZII kemudian memaklumkan mangsa meninggal dunia pada jam 1.08 tengah hari dan ujian Covid-19 juga didapati negatif.

"Siasatan lanjut juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku di tempat kejadian dan ke atas mangsa," katanya.

Artikel Berkaitan: