GP FINA 2022: Gabriel-Syafiq tarik diri

Gabriel (kiri) dan Syafiq meraih pingat perak acara 3m papan anjal seirama pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Gabriel (kiri) dan Syafiq meraih pingat perak acara 3m papan anjal seirama pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.
A
A
A

PENERJUN negara, Gabriel Gilbert Daim-Muhammad Syafiq Puteh tidak akan menyertai Grand Prix (GP) Terjun FINA 2022 di Kuala Lumpur dari 25 hingga 27 November ini.

Penolong Jurulatih Malaysia, Datuk Leong Mun Yee berkata, Gabriel terpaksa menarik diri daripada kejohanan di Pusat Akuatik Negara Bukit Jalil itu disebabkan kecederaan pada buku lali, manakala Syafiq masih dalam pemulihan daripada denggi.

Syafiq kurang sihat kerana denggi manakala doktor suruh Gabriel rehat selepas mengalami kecederaan buku lali dua minggu lepas,” katanya.

Untuk rekod, Gabriel-Syafiq mencipta sensasi apabila meraih pingat perak acara terjun 3 meter (m) papan anjal seirama pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia meletakkan harapan kepada Jellson Jabilin dan Hanis Nazirul Jaya Surya bagi acara 10m platform serta Ooi Tze Liang, Chew Yiwei dan Enrique Maccartney Harold (3m papan anjal).

Sementara itu, Mun Yee berkata, Datuk Pandelela Rinong akan mengetuai cabaran skuad wanita yang juga disertai empat lagi penerjun - Nur Dhabitah Sabri, Wendy Ng Yan Yee, Ong Ker Ying dan Kimberly Bong.

Pada masa sama, Mun Yee berharap kejohanan itu akan menjadi satu platform yang baik bagi menyediakan penerjun menghadapi Sukan SEA Kemboja 2023 pada Mei dan diikuti Sukan Asia di Hangzhou, China serta Sukan Olimpik Paris 2024. - Bernama

Artikel Berkaitan: