PRU15: BN Setiu akur pilihan rakyat

Mohd Iskandar
Mohd Iskandar
A
A
A

KUALA TERENGGANU - BN kawasan Setiu menghormati pilihan dan keputusan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha UMNO Bahagian Setiu, Mohd Iskandar Jaafar berkata, sebagai sebuah parti yang matang dalam politik tanah air, pilihan tersebut diterima walaupun pahit.

"Kita telah merancang dan berusaha sehabis daya, tapi Allah SWT sebaik-baik perancang. Kita harus reda dan terima keputusan PRU15 dengan berlapang dada.

"Bagi pihak kepimpinan UMNO bahagian dan calon BN Parlimen Setiu, saya ucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih di atas segala usaha yang telah jentera berikan.

"Insya-ALLAH, kita terus kekal mendokong parti yang kita sayangi iaitu UMNO dan BN. Tahniah kepada pihak yang berjaya dalam PRU15 dan selamat berkhidmat," katanya di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Mohd Iskandar berkata, walaupun tewas, BN dan UMNO akan berusaha untuk kembali bangkit pada pilihan raya umum negeri nanti sekali gus memberi khidmat terbaik buat rakyat.

Pada PRU15, kerusi Parlimen Setiu kekal menjadi milik Pas apabila Shaharizukirnain Abdul Kadir menang selesa dengan majoriti 19,032 undi.

Beliau menang buat penggal kedua berturut-turut dengan memperoleh 50,768 undi mengatasi tiga pencabar lain.

Artikel Berkaitan:

Dalam persaingan empat penjuru itu, calon BN, Datuk Abdul Rahman Mat Yasin terpaksa akur dengan kekalahan itu apabila meraih 31,736 undi.

Mohamad Ngah daripada Pakatan Harapan (PH) pula memperoleh 2,125 undi manakala calon Pejuang, Wan Adnan Wan Ali, 203 undi sekali gus hilang wang deposit.