England elak trauma sepakan penalti

Para pemain England mahu mengelak daripada kecewa gagal dalam penentuan sepakan penalti. Foto Agensi
Para pemain England mahu mengelak daripada kecewa gagal dalam penentuan sepakan penalti. Foto Agensi
A
A
A

ENGGAN kekecewaan dua tahun lalu berulang, para pemain England menjalani latihan sepakan penalti menjelang sepak mula Piala Dunia di Qatar pada Isnin.

Malah lebih menarik sepakan itu dilakukan tanpa penjaga gol di gawang.

Secara psikologi ada sebab pengendali The Three Lions, Gareth Southgate melakukan latihan tersebut.

Jurulatih berusia 52 tahun itu tidak mahu barisan pemain bintangnya hilang keyakinan disebabkan penjaga gol pasukan lawan berjaya menggagalkan sepakan mereka.

Justeru, England yang kalah pada penentuan penalti ketika final Euro 2020 kepada Itali berlatih melakukan sepakan dengan pemain diarahkan menjadikan penjuru gawang sebagai sasaran mereka.

“Ia boleh menjejaskan mental pemain jika mereka berdepan penjaga gol kerana kami sudah tahu ke mana arah bola akan pergi.

“Kami ada cara latihan yang mana sepakan diambil secara terbuka dan pemain perlu menjadikan penjuru gawang sebagai sasaran mereka.

“Semua orang boleh mengambil penalti, cuma malangnya sukar untuk kami tidak mengawal tekanan ketika perlawanan sebenar,” ujar penjaga gol England, Aaron Ramsdale.

Artikel Berkaitan:

Langkah Southgate untuk memastikan anak buahnya dapat menyempurnakan sepakan penalti berjaya membantu England mengalahkan Colombia dalam aksi pusingan 16 terbaik empat tahun lalu.

Ia adalah kemenangan penentuan penalti pertama mereka di Piala Dunia selepas empat kali mengalami kegagalan.

Bagaimanapun, rekod baik itu tidak bertahan lama selepas Jadon Sancho, Marcus Rashford dan Bukayo Saka gagal menyempurnakan sepakan mereka ketika aksi final Euro menentang Itali 16 bulan lalu.

Keputusan itu menyaksikan England hanya memenangi dua daripada sembilan penentuan penalti di kejohanan utama — satu lagi kejayaan mereka adalah ketika menentang Sepanyol pada Euro 1996.