Tiket bas percuma beri kelegaan kepada pengundi

Muhammad Ammar Faiz Mohd Zain dan Nur Nabilah Mohd Naji mengucapkan penghargaan kepada inisiatif menyediakan bas percuma ini bagi mereka yang ingin pulang mengundi.
Muhammad Ammar Faiz Mohd Zain dan Nur Nabilah Mohd Naji mengucapkan penghargaan kepada inisiatif menyediakan bas percuma ini bagi mereka yang ingin pulang mengundi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Program 'Tampung Tambang Balik Mengundi' sedikit sebanyak meringankan beban kewangan sesetengah pengundi yang pulang untuk mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut seorang arkitek, Mohd Fathul Hakimi Mohd Nawi, 38, dia pada mulanya cuba mendapatkan tiket bas untuk pulang ke kampungnya di Kota Bharu, Kelantan bagi menunaikan tanggungjawab tersebut.

Malangnya, ia telah habis dijual kerana ramai orang sudah menempah tiket tersebut sebelum ini.

"Tiket penerbangan pun bila sudah hujung-hujung ini mahal. Kebetulan, isteri saya pula beritahu tentang program ini, jadi sedikit sebanyak membantulah," katanya Sinar Harian pada Jumaat di KL Sentral dekat sini.

Program anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) itu diadakan dengan kerjasama Yayasan Sinar Malaysia (#RasuahBuster) dan Majlis Belia Malaysia (MBM).

Pada masa yang sama, ayah kepada empat cahaya mata itu berharap, pilihan raya kali ini dapat mengekalkan kestabilan kerajaan yang ada sekarang.

Seorang ibu tunggal, Munira Isa, 36, berkata,menerusi program itu, ia memudahkannya untuk pulang mengundi sambil membawa dua cahaya matanya.

"Mudahlah sikit,kalau tidak nak dapat tiket sekarang pun susah," ujar anak kelahiran Kedah itu.

Artikel Berkaitan:

Dia yang merupakan pembantu di sebuah taska di sekitar Kuala Lumpur akan mengundi di kampung halamannya di Sik, Kedah.

Sementara itu, seorang mahasiswi, Nurul Izzati binti Shahimi, 24, berkata, semoga program tersebut dapat diteruskan pada masa akan datang.

"Saya harap program sebegini dapat diteruskan kerana waktu pilihan raya ini, banyak tiket akan habis," kata anak kelahiran Tasik Gelugor, Pulau Pinang itu.