ECRL bukan 'gula-gula' PRK Rantau, kata Wan Azizah

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan bahawa Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang disambung semula bukanlah 'gula-gula' untuk PRK DUN Rantau.

Timbalan Perdana Menteri berkata, semakan semula projek berkenaan termasuk mengubah jajaran untuk memberi faedah kepada Negeri Sembilan itu telah dibuat sejak sekian lama.

"Semakan semula dibuat supaya ia lebih sesuai dan lebih beri kesan... ECRL menjurus kepada merangsang pembangunan ekonomi dan bukan 'gula-gula’.

"Bukan 'gula-gula' (kerana) sebab PRK kita nak buat, tetapi untuk memulihkan ekonomi negara," katanya kepada pemberita selepas menyantuni warga emas, Miri Abdul Manan, 95, antara pengundi tertua pada PRK berkenaan.

Projek ECRL berkenaan diumum disambung semula pada kos lebih rendah susulan permeteraian perjanjian tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL kini dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion.

Wakil Khas Perdana Menteri Tun Daim Zainuddin yang mengetuai rundingan dilapor berkata bahawa pembinaan ECRL berkenaan akan menyaksikan jajaran baharu iaitu Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang.

ARTIKEL BERKAITAN: ECRL diteruskan dengan pengurangan kos RM21.5 bilion

Artikel Berkaitan:

Projek ECRL itu dimulakan kerajaan BN sebelum ini dan digantung tahun lepas oleh kerajaan PH berikutan membabitkan kos yang tinggi.

Sementara itu, Dr Wan Azizah, yang juga Presiden PH, dalam ucapan ringkasnya pada program ramah mesra bersama penduduk Kampung Pasir Linsum, berkata adalah tidak mustahil untuk PH memenangi kerusi DUN Rantau pada PRK esok.

“Jangan lupa saya pun tak sangka saya jadi timbalan perdana menteri, jadi boleh kita menang (PRK) Insya-ALLAH, jadi kita kena kerja kuatlah,” katanya.

Justeru, beliau menyeru pengundi di Rantau agar menyokong dan memberi kepercayaan kepada calon PH, Dr S Streram untuk menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

PRK Rantau ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH Dr S Streram, calon BN Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon bebas iaitu suri rumah R.Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin. - Bernama