Polis terima laporan ceramah calon ada tawar cabutan bertuah

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Polis hari ini menerima satu laporan polis berhubung seorang calon parti politik di Kulai yang didakwa berceramah dalam satu program yang menawarkan cabutan bertuah kepada orang ramai, malam Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, laporan polis itu dibuat oleh seorang wakil parti politik di Balai Polis Kulai, pada jam 10 pagi tadi.

"Kita ada terima laporan dan ia telah dirujuk kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Jumaat.

Terdahulu, calon Pakatan Harapan Parlimen Kulai, Teo Nie Ching menerusi kenyataan mendakwa calon BN Kulai, Chua Jian Boon menghadiri satu program bersama masyarakat India di sebuah pusat beli-belah di daerah itu, malam tadi.

Nie Ching mendakwa ceramah yang disampaikan Jian Boon merupakan kempen untuk membeli undi yang mana program itu menjemput 10 artis dan menawarkan 100 hadiah cabutan bertuah termasuk rantai emas dan peralatan elektronik.

Sementara itu, Jian Boon ketika dihubungi membidas dakwaan penyandang kerusi Parlimen Kulai itu dan menjelaskan bahawa beliau hanya memenuhi jemputan dan bukan dianjurkan pihaknya.

Jian Boon bagaimanapun menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk membuat siasatan dan akan memberikan kerjasama penuh.

"Saya hadir ke program itu atas jemputan dan hanya singgah sebentar sahaja sebelum pergi lokasi lain malam tadi.

"Saya juga sudah maklum kepada peguam saya dan kita serahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk siasat serta saya tiada masalah untuk beri kerjasama,” katanya.- Bernama
Artikel Berkaitan: