PRU15: Aiman Athirah mahu selesai dua masalah jangka panjang

Aiman Athirah
Aiman Athirah
A
A
A

SEPANG - Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Sepang, Aiman Athirah Sabu mahu menyelesaikan dua masalah jangka panjang yang masih belum diselesaikan jika beliau diberi mandat mewakili kawasan berkenaan pada Sabtu.

Menurutnya, dua masalah utama itu adalah banjir dan pemilikan strata tanah.

“Secara umum masalah banjir dan pemilikan strata tanah. Yang lain itu banyak lagi,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu Lanjut pada Jumaat.

Tambah Ketua Wanita PH itu, bagi menyelesaikan masalah banjir di Sepang, pihaknya melihat beberapa langkah jangka panjang boleh diambil bagi menangani perkara itu.

“Kerajaan ataupun pihak berkuasa yang mengizinkan mana-mana pembinaan taman-taman perumahan mesti mengambil kira kawasan-kawasan rawan banjir, faktor saliran atau ketinggian.

“Contohnya di sini kawasan banjir, macam mana? Ada yang kata tak boleh pindah pun sebab dah beli rumah. Jadi perkara sebegini boleh diatasi sekiranya pihak berkuasa dan pemaju mengambil tanggungjawab bukan hanya untuk membina rumah tetapi turut memikirkan ancaman yang mungkin boleh dihadapi penduduk di situ,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Sungai Langat juga perlu di dalamkan dan diperluaskan selain mempercepatkan Projek Langat 2 yang bukan sahaja mengatasi masalah bekalan air minuman kepada rakyat tetapi pada masa sama menampung lebihan air sekiranya berlaku hujan berterusan dalam satu-satu masa.

"Malah banjaran benteng sungai juga perlu dinaikkan daripada 1.5 meter kepada 4.6 meter agar limpahan air dapat disekat.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH jika saya diberi peluang untuk berkhidmat di sini, (ini) adalah perkara-perkara yang saya mesti dapatkan kerjasama daripada semua pihak,” jelasnya.