PRU15: Diskaun makanan, minuman percuma buat pengundi

Promosi yang ditawarkan di Embrace Hall Cafe, The Pan Signature Cafe dan Kopiyaki untuk pengundi pada Sabtu.
Promosi yang ditawarkan di Embrace Hall Cafe, The Pan Signature Cafe dan Kopiyaki untuk pengundi pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Terdapat pelbagai promosi ditawarkan pengusaha makanan dan minuman di seluruh negara bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) esok.

Selain memberikan potongan harga, terdapat juga pengusaha yang tampil dengan pelbagai tawaran menarik seperti memberikan minuman percuma, dengan pelanggan hanya perlu menunjukkan bukti dakwat biru di jari masing-masing.

Sebuah kafe di Johor Bahru, Embrace Hall Cafe memberikan potongan harga sehingga 13 peratus bagi setiap makanan yang dijual di kedai itu khusus kepada pengundi pada Sabtu selain turut menawarkan minuman kopi percuma.

Pemiliknya, Khairul Fahmi Mohd Ali, 41, berkata, langkah mengadakan promosi itu diambil bertujuan bagi memeriahkan lagi suasana pilihan raya yang berlangsung hanya sekali setiap lima tahun.

Khairul Fahmi memberi potongan harga sehingga 13 peratus bagi setiap makanan di Embrace Hall Cafe kepada pengundi esok.
Khairul Fahmi memberi potongan harga sehingga 13 peratus bagi setiap makanan di Embrace Hall Cafe kepada pengundi esok.

“Jadi bagi saya ini cara untuk kita raikan pilihan raya dan menggalakkan orang ramai untuk keluar mengundi. Adalah rugi kalau orang ramai tidak keluar mengundi kerana inilah peluang untuk kita tentukan kerajaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam pada itu, sebuah kedai makanan dan minuman di Kemaman, Terengganu, The Pan Signature pula menawarkan minuman istimewa iaitu Mango Float kepada pengundi yang membeli makanan di kedai tersebut sepanjang operasinya pada Sabtu.

Pengusahanya, Aris Azaha, 23, berkata, promosi itu dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran mengundi dalam kalangan pelanggannya khususnya anak muda untuk keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada PRU15 kali ini.

Artikel Berkaitan:

Aris
Aris

“Pemerhatian saya mendapati ramai pengundi baharu khususnya anak muda berumur 18 tahun masih tidak tahu mereka layak mengundi. Mungkin mereka ini terlepas pandang.

“Dengan promosi ini saya harap ia mengingatkan mereka untuk keluar mengundi,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang pengusaha kafe di Jitra, Kedah, Mohamad Fahmi Shariff, 25, berkata, dia mengambil keputusan untuk menawarkan promosi minuman percuma kepada pelanggan bagi berkongsikan keterujaannya yang baru pertama kali mengundi.

Mohamad Fahmi
Mohamad Fahmi

“Jadi promosi ini diharapkan dapat menjadi penggalak kepada generasi yang seusia dengan saya untuk keluar mengundi dan memilih kepimpinan dimahukan bagi memajukan negara,” katanya yang sudah dua tahun mengusahakan kafe Kopiyaki.

Dalam pada itu, terdapat juga puluhan tawaran menarik yang dilakukan buat pengundi pada Sabtu oleh syarikat makanan dan minuman (F&B) terkenal di seluruh negara antaranya Family Mart, Taco Bell, Secret Recipe, Old Town White Coffee, Nando’s Malaysia dan Tealive.