PRU15: PH mahu bersama GPS bentuk kerajaan

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
A
A
A

PETALING JAYA - Pakatan Harapan (PH) berharap akan dapat membuat satu gabungan dengan parti di Sabah dan Sarawak bagi membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, setakat ini PH yakin memperoleh majoriti kerusi Parlimen di Semenanjung, namun masih tidak mampu mendapat majoriti mudah.

Oleh demikian beliau berkata, PH memerlukan sebuah gabungan parti di Sabah dan Sarawak bagi melepasi jumlah 112 kerusi untuk membentuk kerajaan.

“Kemungkinan besar PH akan mendapati sokongan rakyat di Semenanjung. Bagi Sabah dan Sarawak pula, satu-satunya gabungan yang jelas mendapat sokongan adalah Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Untuk Sabah pula tiada gabungan yang dapat mandat yang jelas, keputusan akan berpecah,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR pada Jumaat.

Kata Rafizi lagi, beliau telah mengeluarkan kenyataan terbuka mengenai perkara ini walaupun menyedari terdapat perbalahan berlaku antara PH dan GPS pada masa lalu.

“Apa jua perbalahan di masa lalu harus diketepikan kerana gabungan yang dapat jamin kerajaan yang stabil adalah antara PH dan GPS. Keputusan itu mengangkat kehendak rakyat. Kita akan tahu keputusan lewat malam esok.

“Saya yakin GPS menyedari perkara ini. Mereka (GPS) akan tunggu keputusan penuh esok. Respons yang kami dapat setakat ini membantu dan positif,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menghentam PH kerana gabungan itu gagal menunaikan janji sepanjang 22 bulan mereka memerintah.

Kata Abang Johari, apa yang dialami Sarawak ketika negara di bawah pentadbiran kerajaan PH sudah cukup menjadi pengajaran dan rakyat negeri itu menyedari bahawa kerajaan PH adalah sebuah kerajaan gagal.

Dalam perkembangan berkaitan, ditanya mengenai keyakinan PH untuk memenangi PRU15, Rafizi berkata, kemenangan PH bergantung kepada jumlah yang keluar mengundi.

Katanya, jika jumlah keluar mengundi melepasi 80 peratus, maka PH yakin akan menang di lebih 100 kerusi seluruh negara terutamanya di Semenanjung.

“Kami risau cuaca buruk akan menjejaskan keluar mengundi namun berdasarkan gambaran tiket bas habis terjual dan lebuh raya yang sesak, mungkin jumlah keluar mengundi akan lebih tinggi dari Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas,” katanya.

Mengulas mengenai pengundi muda berusia 18 hingga 21 tahun, Rafizi berkata, ia sukar untuk diramalkan kerana tiada data.

“Saya harap pengundi muda boleh lihat isu yang lebih besar dan bukan hanya dapat dari laman sosial seperti TikTok.

“Guna masa berbaki 24 jam ini untuk bandingkan kandungan dan naratif kempen lebih daripada pempengaruh TikTok. Kita tonjolkan logik dan bukan ‘hype’. Saya yakin produk terbaik akan menang,” katanya.