Penunggang motosikal maut rempuh belakang kereta

Keadaan motosikal yang melanggar bahagian belakang kereta yang diparkir di lorong kecemasan dalam kejadian lewat malam tadi.
Keadaan motosikal yang melanggar bahagian belakang kereta yang diparkir di lorong kecemasan dalam kejadian lewat malam tadi.
A
A
A

KULAI – Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera apabila motosikal yang ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer (KM) 20.7, Lebuhraya Utara- Selatan, Arah Selatan lewat malam Khamis.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitenden Tok Beng Yeow berkata, kemalangan itu disyaki berlaku apabila motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa tidak sempat mengelak dan melanggar sebuah kereta yang diparkir di lorong kecemasan.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan tersebut disyaki berlaku apabila pemandu kereta berkenaan bertindak meletakkan kenderaan di lorong kecemasan setelah mengalami kerosakan enjin.

“Susulan itu, motosikal yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak dan melanggar kereta berkenaan dari arah belakang dan menyebabkan penunggang motosikal terbabit tercampak masuk ke kerusi belakang kereta manakala pembonceng tercampak ke hadapan kereta.

“Perlanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal terbabit tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia manakala pemboncengnya mengalami kecederaan di bahagian badan dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA). Pemandu kereta berkenaan pula tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Beng Yeow, mayat penunggang motosikal berkenaan dihantar ke unit forensik HAS bagi tujuan bedah siasat dan seterusnya mengenal pasti punca sebenar kematiannya manakala kesemua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan berkenaan akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

Keadaan kereta dan motosikal yang terbabit dalam kemalangan berkenaan.
Keadaan kereta dan motosikal yang terbabit dalam kemalangan berkenaan.

“Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Kulai, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fauzi Awang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan berkenaan pada 10.25 malam Khamis.

Menurutnya, satu jentera FRT dan satu unit Unitiliti Kembar dari BBP Kulai bersama sembilan anggota diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Abd Malik Abd Rahman telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian kita dapati kemalangan berkenaan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Gen2 dan sebuah motosikal jenis Honda RS di mana seorang mangsa (yang menunggang motosikal) tidak sedarkan diri dan seorang lagi mangsa (pembonceng motosikal) tersepit pada cermin belakang kereta.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit pada cermin belakang kereta dengan menggunakan peralatan khas sebelum dihantar ke hospital manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.