PRU15: Calon BN minta pilihan raya Padang Serai diteruskan

Gambar dari kiri : Azman Nasrudin,(Mendiang) Karupaiya Mutusami,Sivaraj Chandran
Gambar dari kiri : Azman Nasrudin,(Mendiang) Karupaiya Mutusami,Sivaraj Chandran
A
A
A

PADANG SERAI - Proses pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Padang Serai tidak perlu ditangguh walaupun berlaku kematian calon Pakatan Harapan (PH) Karupaiya Mutusami memandangkan undian awal telah berjalan.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Padang Serai, Datuk Sivaraj Chandran berpendapat, atas faktor tarikh pengundian semakin hampir dan hanya tinggal dua hari sahaja lagi, sepatutnya ia harus diteruskan.

"Menurut kenyataan Ketua Pasukan Petugas Khas Demokrasi dan Undang-undang Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Azalina Othman Said, penangguhan tidak perlu memandangkan pengundian awal telah berjalan.

"Bagaimanapun, kita perlu menunggu kenyataan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memutuskan perkara itu," katanya.

Jelas Sivaraj, walaupun berlainan politik dan bersaing secara sihat bagi mendapatkan kerusi Parlimen Padang Serai, namun tetap menghormati pemergian penyandang kerusi berkenaan.

"Pada masa sama, saya telah minta jentera hentikan kempen kami (BN) sehingga mendiang dikebumikan, dijangka pada jam 2 petang Khamis,"katanya.

Seorang lagi calon Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin (PN) berkata, keputusan sama ada tangguh atau teruskan PRU15, hanya boleh ditentukan SPR.

"Kalau ikut kenyataan media SPR, mereka akan mengadakan mesyuarat khas pada Jumaat bagi membincangkan penetapan tarikh-tarikh penting untuk urusan PRU15 bagi kerusi Padang Serai.

Artikel Berkaitan:

"Bagi kami (PN) tiada masalah, kita ikut apa cadangan SPR, nak tangguh atau nak terus pun tiada masalah," katanya.

Beliau dalam masa sama mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan semua jentera PH agar terus bersabar setelah kematian Karupaiya.

Dalam pada itu Azman menyifatkan mendiang sebagai sahabat lama yang berdedikasi dalam tugasnya.

Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas berkata, mereka bersahabat baik ketika sama-sama berjuang dalam PKR sebelum Azman mengambil keputusan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurutnya, biarpun mendiang merupakan lawan politik dalam PRU15 untuk merebut kerusi Padang Serai, namun persahabatan tetap terjalin sebagai rakan.

“Saya berasa sedih atas kematian mendiang, walaupun kami kini berbeza parti politik, mendiang adalah sahabat lama ketika sama-sama berjuang dalam PKR,” katanya.

Azman yang pertama kali bertanding di kerusi parlimen selepas dua penggal bertanding kerusi DUN Lunas menjelaskan, gerak kerja PN sudah tersusun dan mencakupi 85 peratus namun tetap akur sehingga SPR membuat keputusan sama ada teruskan atau menangguhkan pilihan raya.

Pada PRU14, Karupaiya telah memenangi kerusi itu dengan majoriti 8,813 selepas menewaskan Datuk Dr Leong Yong Kong (MCA) dan Muhammad Sobri Osman (Pas).

Kerusi itu pada PRU15 menyaksikan pertembungan enam penjuru selain Sivaraj dan Azman, ia turut dibarisi Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan Amanda AK (Bebas).