PRU15: Kempen berbaur fitnah, Rara buat dua laporan polis

Rara (tengah) bersama Thomas (kiri) dan Kelvin (kanan) bersama laporan polis yang dibuat
Rara (tengah) bersama Thomas (kiri) dan Kelvin (kanan) bersama laporan polis yang dibuat
A
A
A

BENTONG - Berbaki dua hari menjelang pengundian pada Sabtu ini, dua laporan polis dibuat calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Bentong, Young Syefura Othman selepas mendakwa berdepan kempen berbaur fitnah.

Laporan polis pertama dibuat pada Isnin lalu mengenai hantaran seorang individu di akaun Facebook.

Laporan seterusnya dibuat pada Rabu selepas pasukan logistik parti itu mendapati terdapat tiga sepanduk berbaur fitnah terhadap Young Syefura atau mesra disapa Rara dinaikkan di sekitar kawasan jalan utama industri dan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) pada jam 2.06 pagi hari yang sama.

Kedua-dua laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong oleh wakil calon berkenaan.

Rara memberitahu, kesal dengan situasi tersebut dan berharap pihak polis mengambil tindakan sewajarnya untuk mengesan dalang insiden terbabit.

"Tak sangka dalam tahun 2002, masih ada pihak lawan bermain kempen tidak sihat, tidak matang, berbaur fitnah sedangkan kita harus fokus pada kempen sihat dan bersih.

"Isu ini tidak boleh dibiarkan begitu saja, kami ingin mengetahui dalang sebenarnya," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini pada Rabu.

Hadir sama, calon PH kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari, Thomas Su dan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Dr Kelvin Yii Lee Wuen yang juga Ketua Angkatan Muda Harapan.

Artikel Berkaitan:

Tambah Rara, laporan polis itu dibuat untuk mengelakkan insiden tidak diingini terhadap beliau dan pasukan jenteranya.

"Kita tahu kempen tinggal beberapa hari lagi, bermacam perkara akan dilakukan oleh pihak lawan jadi berharap perkara ini dihentikan segera, biarlah kempen berjalan secara sihat, bersih itu lebih baik," tambah beliau.