Rayuan pendakwaan gantung sabitan Peter dibatalkan

Datuk Peter Anthony. - Foto Bernama
Datuk Peter Anthony. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini membatalkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di sini yang membenarkan permohonan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony untuk menggantung hukuman dan sabitan atas kesalahan menggunakan dokumen palsu.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membatalkan rayuan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Haresh Prakash Somiah memaklumkan bahawa pihaknya telah memfailkan notis pemberhentian rayuan pada 28 Oktober lepas.

"Oleh itu, rayuan (pendakwaan) dibatalkan,” kata Mohamed Zaini semasa pengurusan kes hari ini yang turut dihadiri peguam S Devanandan, mewakili Peter.

Pada 5 Ogos lepas, pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi di sini bagi mengetepikan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi yang membenarkan permohonan Peter itu, selepas berpuas hati dengan alasan yang dinyatakan oleh pihak pembelaan.

Peter, 51, memfailkan permohonan untuk menggantung hukuman dan sabitan salah terhadapnya bagi membolehkannya bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, pada hari penamaan calon 5 November lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak pencalonan Peter untuk bertanding di kerusi Parlimen Tenom dalam PRU15.

Penolakan pencalonan itu dilakukan SPR dengan alasan Peter masih mempunyai kes mahkamah yang belum selesai.

Pada 26 Mei lepas, Azura menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 atau penjara 15 bulan terhadap Peter selepas didapati bersalah memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan sistem Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014. - Bernama

Artikel Berkaitan: