PRU15: BN Kelantan tidak campuri urusan dalaman Pas

Ahmad Jazlan menyantuni anggota Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Machang di Kemuning, pada Rabu.
Ahmad Jazlan menyantuni anggota Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Machang di Kemuning, pada Rabu.
A
A
A

MACHANG - Walaupun pelbagai kemungkin boleh berlaku dalam politik, BN Kelantan tetap meletakkan Pas sebagai lawan yang perlu disaingi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Ahmad Jazlan berkata, apa sahaja konflik yang berlaku dalam Pas adalah hal dalaman parti itu.

"Biar mereka selesaikan sendiri isu dalaman parti mereka. Apa yang pasti, apapun kenyataan mereka kita tetap berhadapan dengan mereka sebagai lawan dalam pilihan raya ini yang tinggal dua hari sahaja lagi.

"Cerita dalam politik ini tiada yang mustahil. Seribu satu perkara boleh berlaku tetapi yang jelasnya untuk 19 haribulan ini, mereka akan berhadapan dengan BN," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi ramah mesranya bersama Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Machang di Kemuning, pada Rabu.

Ahmad Jazlan berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang memberitahu Pas mungkin bergabung dengan BN bagi membentuk kerajaan selepas PRU15.

Takiyuddin bagaimanapun memberi penjelasan semula berhubung kenyataan itu dengan menegaskan bahawa ia telah dilaporkan di luar konteks yang sebenar.

Bagaimanapun kenyataan awalnya itu telah mendapat pelbagai reaksi termasuk daripada pimpinan parti Perikatan Nasional (PN).

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Ahmad Jazlan yang juga penyandang kerusi Parlimen Machang itu memaklumkan pihaknya akan memberi fokus menyantuni pengundi luar yang dijangka mula pulang ke kampung halaman pada Rabu.

"Jentera BN Kelantan berada dalam 'mood' yang baik ketika ini. Cuma pecutan akhir kita ialah memperkemas jadual menyantuni pengundi luar.

"Jadi program kita mesti terarah kepada itu terutama bagi yang kali pertama memgundi yang lama dah kita tidak jumpa,"katanya.

Tambahnya, BN juga akan mempastikan jentera yang membawa keluar pengundi berada dalam keadaan bersiap siaga untuk hari pengundian yang hanya berbaki dua hari lagi.