Selangor berdepan TFC tanpa Yazan

Pemain TFC, Kpah Sean Sherman dihalang pemain Selangor, Yazan Mousa Mahmoud Al-Arab pada perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Rabu. - Foto Bernama
Pemain TFC, Kpah Sean Sherman dihalang pemain Selangor, Yazan Mousa Mahmoud Al-Arab pada perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

SELANGOR FC akan turun tempang pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Terengganu pada Rabu apabila tonggak pertahanan import dari Jordan, Yazan Al-Arab sah tidak dapat diturunkan pada perlawanan tersebut.

Pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe ketika mengesahkan perkembangan itu memberitahu, pemain berusia 26 tahun itu tidak dapat beraksi kerana dipanggil untuk aksi antarabangsa bersama negaranya.

"Saya gembira dengan keadaan semua pemain cuma kurang baik kerana kami terpaksa lepaskan Yazan untuk tugasan skuad kebangsaan.

"Itu sedikit sebanyak akan menjejaskan pasukan kerana seperti kita tahu Yazan bermain dengan sangat bagus dan dia mampu untuk kemudi barisan pertahan kami Selangor dengan baik.

"Sebagai jurulatih, kita kena terima dan cari cara yang terbaik bagi mengatasi masalah ini. Saya harap pemain yang diturunkan dapat memberi aksi sama seperti Yazan lakukan bersama pasukan,” katanya

Dalam pada itu ketika mengulas berkenaan lawannya, Cheng Hoe mengakui Terengganu bukanlah satu lawan yang mudah dan mempunyai rekod baik sepanjang musim ini.

Justeru, beliau berharap pemain-pemainnya dapat bersedia dari segi mental dan fizikal menjelang aksi tersebut.

“Memang satu perlawanan sukar di separuh akhir menentang Terengganu, kita tahu Terengganu ada rekod dan berada di landasan yang terbaik.

Artikel Berkaitan:

"Dalam 13 atau 14 perlawanan, mereka cuma kalah di Piala FA sahaja menentang JDT, pemain perlu bersedia untuk menghadapi keserasian pemain Terengganu,” katanya.