PRU15: Pusat pengundian awal ditutup 5 petang

Anggota PDRM menunaikan tanggungjawab mengundi awal sempena PRU15 di Dewan Mutiara, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini. -- Foto Bernama
Anggota PDRM menunaikan tanggungjawab mengundi awal sempena PRU15 di Dewan Mutiara, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini. -- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat pengundian awal di seluruh negara bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ditutup pada 5 petang ini.

Sejumlah 224,828 pengundi awal berdaftar terdiri daripada 117,473 anggota tentera dan pasangan serta 107,355 anggota polis serta pasangan.

Turut diadakan serentak ialah pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah yang tertangguh berikutan proklamasi darurat bagi mencegah penularan Covid-19.

Sebanyak 578 pusat pengundian awal membabitkan 970 saluran, yang dibuka sejak 8 pagi antaranya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Ibu Pejabat Polis Daerah dan kem tentera, ditutup secara berperingkat antara 12 tengah hari hingga 5 petang.

Antara pegawai kanan keselamatan yang menunaikan tanggungjawab bagi memilih pemimpin negara ialah Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah.

Kertas undi akan disimpan di lokap balai polis dan dikira pada Sabtu ini bermula 4 petang di tempat pengiraan yang ditetapkan SPR serta disaksikan oleh ejen calon masing-masing.

PRU15 melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 117 kerusi DUN di Pahang, Perlis dan Perak serta Bugaya di Sabah.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 Nov ini sebagai hari mengundi. - Bernama

Artikel Berkaitan: