Serang, ugut wartawan, peniaga didenda RM1,000

Tertuduh (tengah) ketika tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Seremban pada Selasa.
Tertuduh (tengah) ketika tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Seremban pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang peniaga dikenakan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa selepas mengaku salah atas pertuduhan menyerang dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap wartawan sebuah portal berita, Jumaat lalu.

Tertuduh, S Subramaniam, 41, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam.

Tertuduh juga boleh dihukum penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyerang dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa, seorang lelaki berusia 24 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah restoran di Seremban Jaya di sini jam 7 malam, 11 November lalu.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Muhaimin Mohd Azman manakala tertuduh diwakili peguam Asmawi Ismail.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, seorang lagi suspek telah dibebaskan sebagai saksi pendakwaan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, media melaporkan sekumpulan wartawan sebuah portal berita yang sedang membuat liputan pilihan raya calon BN Parlimen Rasah telah diugut oleh dua lelaki dipercayai dalam keadaan mabuk di sebuah restoran di Taman Seremban Jaya di sini petang Jumaat lalu.

Dalam kejadian pada jam 7 malam itu, mereka diugut supaya tidak membuat liputan media di situ sebelum salah seorang daripada wartawan telah ditolak, dibaling gelas, botol arak dan kasut.