Hakim Danish mahu kekal momentum

Hakim Danish tekad bekerja lebih keras bagi mengharungi perlumbaan motosikal musim depan. - Foto Agensi
Hakim Danish tekad bekerja lebih keras bagi mengharungi perlumbaan motosikal musim depan. - Foto Agensi
A
A
A

SELEPAS dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejuaraan Asia Talent Cup (ATC) 2022 pada Ahad lepas, pelumba muda negara, Muhammad Hakim Danish Ramli berharap mampu mengekalkan momentum kemenangan dalam penampilan sulungnya di Red Bull MotoGP Rookies Cup musim 2023.

Perlumbaan motosikal yang berlangsung di Mandalika International Street Circuit di Lombok, Indonesia itu menyaksikan pelumba berusia 15 tahun yang lebih mesra disapa Hakim Danish menjadi rakyat Malaysia pertama dan pelumba kedua dari Asia Tenggara bergelar juara keseluruhan, sejak saingan perlumbaan itu mula diperkenalkan pada 2014.

Pelumba muda berasal dari Terengganu itu mengumpul 187 mata keseluruhan di posisi teratas senarai kedudukan pelumba, mengetepikan cabaran Shinya Ezawa dari Jepun yang mengumpul 177 mata dan pelumba tuan rumah Vede Ega mengutip 141 mata bagi kedudukan di posisi ketiga.

Anak kedua dari empat adik beradik itu tidak mampu menyembunyikan perasaan gembira dan bersyukur apabila mampu menutup tirai perlumbaan musim 2022 dengan penuh bergaya, sekali gus berharap terus menghasilkan 'magis' pada tahun hadapan.

Saya sangat gembira dapat gelaran juara keseluruhan ATC dan sebagai rakyat Malaysia pertama menang kejuaraan ini. Saingan sangat sengit sebelum perlumbaan terakhir di Lombok di mana saya hanya dibezakan tiga markah dengan Shinya Ezawa dari Jepun.

"Tahun ini puas hati, tahun depan perlu bekerja keras dan kekal momentum kerana akan mula bermain dalam Red Bull Rookies Cup di mana pelumba Eropah mempunyai kelajuan yang tinggi jadi kena mula buat persediaan yang awal," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam Isnin.

Beliau mahu mendedikasikan kemenangan berkenaan kepada Litar Antarabangsa Sepang (SIC), kru ZK Racing dan seluruh ahli keluarga yang sentiasa memberi sokongan dan galakan sepanjang kerjaya permotorannya.

Kejayaan merangkul gelaran juara keseluruhan ATC hadir selepas Hakim Danish berjaya menduduki tempat pertama pada dua perlumbaan pusingan kedua di Lombok pada Mac lepas, diikuti perlumbaan pertama pusingan keempat di Thailand dan perlumbaan pertama pusingan kelima di Litar Antarabangsa Sepang bulan lepas, sebelum kembali beraksi di Lombok bulan ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata beliau amat berpuas hati dengan kejayaan Hakim Danish pada musim ini yang mampu membuka mata masyarakat di luar sana tentang kewujudan sukan permotoran.

"Kita nampak dia (Hakim Danish) permata baharu yang masih perlu digilap bersama pengurus ZK Racing Zulfahmi Khairuddin dan pasukan. Setakat ini perbincangan masa depan bersama pengurus ialah Hakim Danish akan beraksi di ATC bagi satu tahun lagi dan buat penampilan sulung di Red Bull Rookies Cup," katanya. - Bernama