Perak medan perang PRU15?

Anwar, Ahmad Zahid dan Ahmad Faizal antara ama besar parti politik utama yang bertanding di Perak.
Anwar, Ahmad Zahid dan Ahmad Faizal antara ama besar parti politik utama yang bertanding di Perak.
A
A
A

IPOH - Secara tidak sengaja, Perak menjadi medan pertempuran Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ramai nama besar parti politik utama yang bertanding dalam pilihan raya ini, sama ada mempertahankan kerusi mereka atau mencuba nasib di negeri ini dan berusaha menarik sokongan daripada 2.1 juta pemilih yang meningkat 11 peratus berbanding PRU14.

Perkara medan perang itu mula ketara selepas pencalonan Pengerusi Pakatan Harapan dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun dan tidak mempertahankan Port Dickson yang dimenanginya pada pilihan raya kecil pada 2018.

Anwar menentang penyandang Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang merupakan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Timbalan Presiden Bersatu. Ahmad Faizal yang digelar Peja, pernah menjadi Menteri Besar Perak.

Calon lain dalam pertandingan empat penjuru itu ialah Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah (BN) serta calon Gerakan Tanah Air (GTA-Pejuang) Abdul Rahim Tahir.

Turut menjadi tumpuan ialah Pengerusi BN dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk dalam pertandingan pilihan raya ketujuhnya, setelah memenangi kerusi itu pada 1995.

Lawannya dalam pertandingan empat penjuru ialah Dr Muhammad Faiz Na'aman (PN-Bersatu), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-PKR) dan calon bebas Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail.

Tiga pemimpin utama MIC juga bertanding di Perak.

Artikel Berkaitan:

Presiden parti Tan Sri S. A. Vigneswaran, bekas Yang Dipertua Dewan Negara, membuat bidaan sulung untuk kerusi Parlimen Sungai Siput.

Beliau terlibat dalam pertandingan tujuh penjuru yang turut disertai penyandang S. Kesavan (PH-PKR); Datuk Seri G. Irudianathan (PN-Bersatu); Ahmad Fauzi Mohd Jaafar (GTA-Pejuang) dan tiga calon bebas - suri rumah R. Indrani; bekas Ketua Penerangan PN Sungai Siput Baharudin Kamarudin dan ahli perniagaan N. Rajah.

Timbalan Presiden parti Datuk Seri M. Saravanan mempertahankan kerusi Parlimen Tapah dalam pertandingan enam penjuru. Pencabarnya ialah K. Saraswathy (PH-PKR); Datuk Muhammad Yadzan Mohammad (PN-Bersatu); Mohamed Akbar Sherrif Ali Yasin (Warisan); Mior Nor Haidir Suhaimi (GTA-Pejuang) dan M. Kathiravan (Bebas).

Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah bertanding di kerusi Parlimen Teluk Intan. Beliau menentang penyandang Nga Kor Ming (PH-DAP) yang merupakan Naib Pengerusi DAP dan Pengerusi DAP Perak; Pengerusi PN-Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan calon GTA-Pejuang Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dalam pertandingan empat penjuru.

Datuk Seri Hamzah Zainudin, Setiausaha Agung PN dan juga Bersatu, mempertahankan kerusi Parlimen Larut dalam pertandingan empat penjuru yang turut melibatkan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Larut Mohd Syafiq Fhadly Mahmud (BN-UMNO); Zolkarnain Abidin (PH-Amanah) dan Auzaie Fadzlan Shahidi (GTA-Berjasa).

Naib Presiden Amanah dan Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa, Ahli Parlimen tiga penggal, mempertahankan kerusi Parlimen Parit Buntar dalam pertandingan empat penjuru menentang Imran Mohd Yusof (BN-UMNO); Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-PAS) dan Rohijas Md Sharif (GTA-Pejuang).

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad (PN) terlibat dalam pertandingan empat penjuru bagi kerusi Parlimen Bagan Serai bersama-sama Zul Helmi Ghazali (BN-UMNO); Siti Aishah Shaik Ismail (PH-PKR) dan Ahmad Luqman Ahmad Yahaya (GTA-Pejuang).

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (BN) terlibat dalam pertandingan tiga penjuru untuk kerusi Parlimen Gerik dengan Fathul Huzir Ayob (PN-Bersatu) dan Ahmad Tarmizi Mohd Jam (PH-DAP).

Naib Pengerusi DAP M. Kulasegaran (PH) berdepan tiga calon dalam mempertahankan kerusi Parlimen Ipoh Barat. Mereka ialah Low Guo Nan (BN-MCA); Chek Kwong Weng (PN-Gerakan) dan ahli politik veteran Tan Sri M. Kayveas, bekas Presiden MyPPP bertanding sebagai calon bebas.

Nama-nama besar yang bertanding di kerusi Parlimen Tanjong Malim di selatan Perak ialah penyandang Pengerusi PKR Perak Chang Lih Kang (PH); Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon (BN); Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (PN-Bersatu); Dr Amir Hamzah Abdul Rajak (GTA-IMAN) dan dua calon bebas, iaitu Jamaluddin Mohd Radzi dan Mohd Nor Izzat Mohd Johari.

Selain 24 kerusi Parlimen, Perak turut menyaksikan pertandingan 59 kerusi DUN pada PRU15.

Hari pengundian ialah pada 19 November. - Bernama