Calon PN Muar tolak debat dengan Syed Saddiq

Abdullah (belakang, tengah) mengesahkan menolak pelawaan berdebat dengan Syed Saddiq ekoran jadualnya yang padat.
Abdullah (belakang, tengah) mengesahkan menolak pelawaan berdebat dengan Syed Saddiq ekoran jadualnya yang padat.
A
A
A

MUAR - Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Muar, Abdullah Husin mengesahkan menolak pelawaan berdebat dengan Presiden Parti Ikatan Demokratik (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ekoran jadualnya yang padat.

Abdullah berkata, beliau dijemput ke majlis debat itu malam ini.

“Jadi, saya menghormati program tersebut, tapi saya sudah beritahu pihak penganjur, saya tidak dapat hadir kerana program saya sudah diatur lebih awal.

"Sebab nak jumpa pengundi seramai mungkin,” katanya selepas melakukan tinjauan mesra di Medan Selera Tanjong Emas.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Johor itu berkata, alasan beliau menolak debat itu kerana mahu menggunakan sebaiknya masa berkempen yang berbaki beberapa hari lagi.

“Lepas pilihan raya umum, kita lihat semula. Kalau sesuai dengan tajuk dan sebagainya, kita bersedia,” katanya.

Sementara itu, calon lawannya daripada BN, Mohd Helmy Abd Latif memaklumkan beliau tidak menerima jemputan ke debat itu dan fokusnya kini menemui seberapa ramai pengundi ketika berkempen.

Terdahulu, sebuah NGO rakan siswa menganjurkan 'Debat Polisi Parlimen Muar' membabitkan tiga calon di kawasan itu iaitu BN, PN dan Muda di sebuah hotel malam ini.

Artikel Berkaitan: