MAFI perkasa komuniti agromakanan di Kelantan

Nik Muhammad Zawawi
Nik Muhammad Zawawi
A
A
A


PASIR PUTEH - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memperuntukkan lebih RM1 juta bagi membantu memperkasakan komuniti agromakanan luar bandar di Kelantan.

Timbalannya, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, peruntukan yang disalurkan melalui program Semarak Tani itu sekali gus meningkatkan pengeluaran makanan negara selain meningkatkan ekonomi petani.

"Separuh daripadanya diberikan kepada petani muda menerusi bantuan geran Agropreneur Muda membabitkan 25 peserta dengan nilai keseluruhan sebanyak RM500,000.

"Bantuan geran pemadanan sebanyak RM411,000 untuk 31 peserta terpilih selain bantuan Program Rezeki Tani sebanyak RM160,000," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Semarak Tani di Bandar Baru Pasir Puteh, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Datuk Kamaruddin Md Nor dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Kelantan, Norbahani Zakaria.

Nik Muhammad Zawawi yang juga penyandang kerusi Parlimen Pasir Puteh berkata, kesemua peruntukan disalurkan menerusi KADA sebagai salah satu agensi di bawah MAFI.

Beliau memaklumkan peruntukan itu bagi menyemarakkan lagi semangat petani dalam peningkatan hasil melalui teknologi-teknologi yang ada.

"Ini bagi memastikan hasrat kerajaan nak capai tahap sara diri (SSL) yang mencukupi untuk bekalan makanan negara. Malah kalau boleh mampu eksport ke luar negara," katanya.

Artikel Berkaitan:


Pelbagai bantuan lain turut diberikan kepada petani khususnya di musim tengkujuh antaranya bantuan berjumlah RM164,106 kepada 71 pesawah yang terjejas akibat ribut.

"Keprihatinan kementerian meliputi semua aspek kebajikan buat petani dan nelayan yang menjadi barisan hadapan dalam menyediakan sumber bekalan makanan kepada negara.

"Peruntukan ini tidak tetap dan berubah-ubah mengikut keperluan dan keadaan semasa petani dan nelayan," jelas beliau.