Dua askar Syria terkorban akibat peluru berpandu Israel

Pasukan Pertahanan Israel melancarkan ratusan serangan ke atas Syria sejak tahun 2011. - Foto AFP
Pasukan Pertahanan Israel melancarkan ratusan serangan ke atas Syria sejak tahun 2011. - Foto AFP
A
A
A

DAMSYIK - Dua askar Syria terkoran dan tiga lagi cedera akibat serangan peluru berpandu Israel pada Ahad di wilayah tengah Homs.

Pertahanan udara Syria bertindak balas terhadap sasaran musuh di wilayah tenggara Homs dengan memintas beberapa peluru berpandunya, kata agensi berita rasmi negara tersebut, SANA.

Memetik sumber tentera, ia berkata serangan itu berlaku di pangkalan udara Shayrat yang dikawal Syria mengakibatkan kematian dan kerosakan material.

Televisyen negara itu turut menyiarkan rakaman yang menunjukkan pertahanan udara memintas peluru berpandu penceroboh Israel.

Badan Pemantau Hak-Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain melaporkan terdapat letupan di kawasan pangkalan udara Shayrat dengan mendakwa Israel melancarkan empat serangan peluru berpandu.

Kawasan itu adalah lokasi tentera yang digunakan oleh rejim Presiden Syria, Bashar al-Assad dan kumpulan yang disokong Iran termasuk pergerakan Syiah Lubnan, Hizbullah.

Israel telah melakukan ratusan serangan udara ke atas wilayah Syria sejak perang saudara meletus pada tahun 2011 dengan menyasarkan kedudukan kerajaan serta tentera sekutu yang disokong Iran termasuk anggota=anggota Hizbullah.

Tentera Israel pada Ahad enggan mengulas mengenai serangan tersebut. - AFP

Artikel Berkaitan: