Afif janji tumpu keperluan sekolah

Usaha segerakan dana kerajaan tempatan untuk bina sekolah jika diberi mandat

Calon PN Parlimen Shah Alam, Dr Afif Baharudin menyampaikan cenderahati gambarnya ketika di sekolah Seksyen 9 kepada bekas guru Sains beliau, Zalma Mat Lassim.
Calon PN Parlimen Shah Alam, Dr Afif Baharudin menyampaikan cenderahati gambarnya ketika di sekolah Seksyen 9 kepada bekas guru Sains beliau, Zalma Mat Lassim.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebagai anak jati yang dilahirkan dan dibesarkan di Shah Alam, ia memberi kelebihan buat Dr. Afif Bahardin melihat dengan lebih jelas masalah yang berlaku di kawasan ditandinginya.

Meletakkan pelbagai agenda untuk memajukan Shah Alam, Afif yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Shah Alam percaya isu pendidikan dan infrastruktur sekolah antara perkara yang perlu diberikan perhatian khusus.

AFIF
AFIF

Beliau mahu menambah baik isu itu dalam usaha memaksimumkan potensi penduduk sekali gus menyediakan Shah Alam menjadi sebuah bandar yang 'future proof'.

"Hari ini dalam siri walkabout, saya hadir ke rumah cikgu Sains saya semasa belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, iaitu Cikgu Zalma Md Lassim. Ia ibarat jejak kasih.

"Apabila saya nak bertanding di Shah Alam dan menawarkan diri untuk jadi Ahli Parlimen di Shah Alam ini, sebenarnya saya balik ke kampung.

"Alhamdulillah, cikgu juga masih ingat saya dan ada banyak memori kami bualkan dan ingat semula. Inilah contoh individu yang membentuk saya hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Bagi saya, peranan institusi seperti sekolah dan juga pendidikan ini sangat penting dan sangat dekat di hati saya," katanya kepada Sinar Harian semasa program walkabout di rumah Zalma di Seksyen 9, di sini.

Beliau yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya mahu memastikan tiada penduduk Shah Alam yang tercicir daripada pendidikan selain mampu memastikan mereka bersedia untuk pasaran kerja.

Beliau juga mahu memastikan bidang kemahiran turut diberikan penekanan khusus kepada penduduk di Shah Alam.

Program pendidikan

"Di peringkat Parlimen Shah Alam, saya akan bekerja sama dengan sekolah dan juga tenaga pengajar di Shah Alam untuk kenal pasti bagaimana program pendidikan boleh dikembangkan lagi.

"Saya juga akan melihat jika ada laluan lain untuk pelajar mencapai potensi sebenar mereka dari segi bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan kemahiran sedia ada," jelasnya.

Menyentuh mengenai infrastruktur sekolah di Shah Alam, Afif melihat banyak lagi kawasan yang tidak mempunyai sekolah mencukupi seperti di U10 dan Setia Alam.

Justeru, beliau akan memberi keutamaan berunding dengan kerajaan tempatan dan pihak terlibat dalam menyegerakan dana pembinaan sekolah.

"Jika dilihat di kawasan itu, rumah dibina lebih cepat berbanding sekolah. Jadi, ia menyebabkan sekolah tidak cukup untuk menampung pelajar yang ramai.

"Kalau saya dipilih sebagai Ahli Parlimen Shah Alam, saya akan berusaha mendapatkan peruntukan supaya sekolah dapat dibina segera.

"Saya juga lihat majoriti keluarga yang tinggal di Shah Alam adalah keluarga yang sedang baru bermula. Ramai yang baru dapat anak dan ada anak yang baru nak mula sekolah.

"Itu penting untuk kita sediakan generasi Shah Alam yang lebih berpengetahuan dan boleh menghadapi cabaran untuk masa akan datang," katanya.

Afif ada karakter kepimpinan

Sementara itu, Zalma menyifatkan karakter kepimpinan Afif sudah terserlah sejak di bangku sekolah lagi dan tidak terkejut anak muridnya itu masuk ke kancah politik.

ZAIMA
ZAIMA

Beliau juga percaya sudah tiba masanya Afif berbakti di Shah Alam memandang beliau antara generasi muda yang mempunyai idea untuk membangunkan bandar itu.

"Saya mengajar Afif subjek Sains di sekolah dari tingkatan satu hingga tiga. Sebagai guru, kita boleh menilai seseorang pelajar itu dan memang sudah nampak dia mempunyai karakter kepimpinan.

Zalma menyifatkan karakter kepimpinan Afif sudah terserlah sejak di bangku sekolah lagi.
Zalma menyifatkan karakter kepimpinan Afif sudah terserlah sejak di bangku sekolah lagi.

"Dia suka ambil tahu mengenai isu semasa, berani bersuara, pandai bercakap dan sangat rapat dengan semua cikgu. Keperibadian dia memang menyenangkan semua orang. Selepas habis sekolah pun dia tetap datang berjumpa semua cikgu.

"Sebagai anak jati Shah Alam, dia tahu apa yang perlu dilakukan dan saya harap dia dapat bantu Shah Alam sekiranya menang," kata Zalma.