PRU15: Saya masih calon 'underdog' - Khairy

Khairy Jamaluddin - BERNAMA FILE PIX
Khairy Jamaluddin - BERNAMA FILE PIX
A
A
A

CYBERJAYA- Calon BN Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar masih lagi menganggap dirinya sebagai 'underdog' di kawasan itu.

Menurutnya, walaupun yakin mampu memenangi kerusi berkenaan, beliau masih perlu bekerja keras dan bersikap realistik memandangkan ia adalah kubu kuat Pakatan Harapan (PH).

“Dalam hidup ini, kita mesti yakin (menang), tapi keyakinan itu mesti diimbangi dengan harapan yang realistik. Kawasan ini pula susah nak menang untuk BN kerana majoritinya lebih 26,000, kawasan bandar pula.

“Jadi, saya masih lagi anggap sebagai calon ‘underdog’. Tapi, saya cuba untuk berjumpa dengan seramai mungkin pengundi dan dekati mereka melalui media sosial.

“Kita sudah menghampiri separuh masa kempen, ‘it is not easy’ (ia bukanlah mudah). Isteri saya (Nori Abdullah) setiap hari ada turun padang untuk bantu kempen,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Pengoperasian Hospital Cyberjaya, di sini pada Jumaat.

Khairy bakal berdepan enam calon lain di Parlimen Sungai Buloh, iaitu calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Ghazali Md Hamin, R. Ramanan (Pakatan Harapan-PKR), Mohd Akmal Mohd Yusoff (Pejuang), Ahmad Zuflis Faiza (Parti Rakyat Malaysia) serta dua calon bebas iaitu Syed Abdul Razak Syed Long Alsagoff dan Nurhaslinda Basri.

Kerusi Parlimen Sungai Buloh dianggap ‘kerusi panas’, yang mana ia dimenangi R. Sivarasa daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 26,634 PRU14 lalu.

Artikel Berkaitan: