PRU15: Pemandu lori ditahan bakar bendera parti

Video menunjukkan bendera parti sedang dibakar.
Video menunjukkan bendera parti sedang dibakar.
A
A
A

DUNGUN - Seorang pemandu lori berusia 31 tahun ditahan kerana disyaki merosakkan bahan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sejak beberapa hari lalu tular di aplikasi media sosial TikTok mengenai tindakan seorang lelaki dilihat sengaja membakar bendera daripada sebuah parti yang menimbulkan kemarahan ramai pihak.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, hasil maklumat orang awam satu tangkapan dibuat terhadap seorang lelaki di rumahnya di kampung Pasir Raja.

"Satu laporan diterima mengatakan seorang lelaki yang mungkin tidak siuman atau berada di bawah pengaruh dadah bertindak membakar bendera parti.

"Hasil penelitian video berdurasi lebih kurang satu minit tujuh saat memaparkan seorang lelaki Melayu sedang membakar sehelai kain berwarna hijau dan putih menggunakan pemetik api.

"Lokasi kejadian berlaku tepi jalan berhampiran simpang masuk ke Kampung Pasir Raja Kuala Jengai dan susulan itu tangkapan telah dibuat pada jam 1.30 pagi,"katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati suspek merupakan orang yang sama terlibat dalam kes pembakaran bendera Jalur Gemilang.

"Sebelum ini kita ada menerima satu laporan membabitkan kes membakar bendera Malaysia dan suspek adalah individu yang sama.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat dibawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan suspek yang dipercayai positif dadah akan ditahan reman untuk siasatan lanjut," katanya.