Artis popular bakal gegarkan Konsert Anak Muda Gegor Bera

No Image Caption
A
A
A

BERA - Dewan Konvesyen Bera di sini bakal digegarkan dengan kehadiran artis-artis terkenal tanah air untuk menghangatkan dan memeriahkan lagi Konsert Anak Muda Gegor Bera, bermula jam 8.30 malam, Sabtu ini.

Penyanyi rock terkenal, Amy Search dan pelakon drama fenomena 'Melur Untuk Firdaus’, Anna Jobling antara artis dijangka menjadi tarikan di konsert itu nanti.

Selain dua artis tersebut, konsert yang diadakan sempena Karnival #KeluargaMalaysia: Anak Muda Gegor Bera itu turut menampilkan beberapa lagi penyanyi terkenal tanah air seperti Hael Husaini, Afieq Shazwan, Zoey Rahman, Nizam Laksamana, Fazli Zainal, Santesh, Lock Up, Ex Puxxle dan Lin Kah Jun.

Konsert yang diadakan secara percuma itu bagi menyemarakkan lagi semangat Keluarga Malaysia dalam kalangan penduduk Bera yang terdiri daripada pelbagai bangsa, kaum dan agama, selain muzik sebagai elemen perpaduan.

Amy Search memberitahu teruja dapat beraksi kali pertama di hadapan Keluarga Malaysia di Bera.

"Pastinya saya akan memberikan persembahan istimewa untuk peminat-peminat yang ada di Bera malam Sabtu nanti. Nak tahu apa yang istimewa, kenalah datang beramai-ramai ke Konsert Karnival Keluarga Malaysia Sabtu ini," kata penyanyi yang popular dengan lagu Isabella dan Fantasia Bulan Madu.

Perasaan sama turut dilahirkan Anna yang begitu teruja untuk turun ke Bera bertemu peminat apatah lagi ramai kalangan peminatnya telah menghantar pesanan di akaun Instagram miliknya menyatakan hasrat untuk bertemu.

‘’Sejak semalam, Anna tak putus-putus menerima hantaran mesej terus (DM) dari Bera bertanyakan tentang kehadiran Anna itu,’’ katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Miat Quadra E-Sport Club, Mohamad Lukman Afiq Mohamad Faizal yang juga penganjur karnival memberitahu konsert itu bagi menyemarakkan semangat Keluarga Malaysia dalam kalangan penduduk Bera serta kawasan sekitarnya.

"Kita maklum selain sukan, bidang hiburan juga merupakan platform berkesan dalam menyatupadukan Keluarga Malaysia yang berbilang kaum," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Orang ramai di Bera dan sekitarnya diminta tidak melepaskan peluang membanjiri tapak karnival susulan pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang hari.

Antaranya termasuklah Santai eGames, Karnival Kerjaya dan Pemeriksaan Kesihatan secara percuma bermula pukul 9 pagi sehingga 5 petang. Manakala Konsert yang dibarisi oleh artis-artis terkenal akan berlangsung dari pukul 8.30 malam sehingga 11 malam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual merasmikan Pertandingan e-Games yang diadakan bertujuan mencungkil bakal belia dalam e-sukan, yang kini telah menjadi kerjaya sukan di peringkat antarabangsa pada jam 12.30 tengahari.