PRU15: Ramai keluar mengundi, UMNO akan hanyut di Sungai Muar

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

PAGOH - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin UMNO akan kalah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya jumlah pengundi keluar mengundi pada 19 November ini tinggi.

Beliau berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah kerana ramai pengundi UMNO turun mengundi ketika itu.

Macam PRN Johor dulu tak ramai keluar mengundi, orang UMNO 'totok' ada situ. BN menang.

"Tetapi Pilihan Raya ini, katalah 80 peratus pengundi ada keluar undi, yakin UMNO akan hanyut masuk ke Sungai Muar," katanya ketika berucap dalam ceramah kelompok bersama masyarakat Kampung Tengah, Kampung Naib Piee, Kampung Parit Buaya dan Kampung Sungai Terap, Pagoh.

Mac lalu, BN meraih kemenangan selesa apabila berjaya memperoleh kejayaan majoriti dua pertiga, selepas keputusan penuh PRN Johor.

Ini menerusi kejayaan BN menawan 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Pakatan Harapan (PH) menang 11 kerusi DUN, diikuti PN (tiga) manakala PKR dan MUDA masing-masing satu kerusi.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pilihan raya kali ini amat penting bukan kerana soal beliau, Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Ini soal rakyat. Ini satu tanggungjawab penting. Tanggungjawab (kita turun) mengundi pada 19 November ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, penerimaan rakyat terhadap PN semakin meningkat.

"Trend sokong Melayu semakin meningkat. Boleh menang bentuk kerajaan.

"Di Pagoh ini bagilah saya peluang terakhir menang," katanya.