Usahawan PMKS kembali aktif berniaga hasil bantuan kerajaan

A
A
A

Ismail Sabri menyantuni golongan usahawan PMKS yang menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Ismail Sabri menyantuni golongan usahawan PMKS yang menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

SHAH ALAM – Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) mencatat kejayaan menerusi sumbangan ketara terhadap ekonomi negara sekali gus merangsang pertumbuhan positif dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pelaburan dan perdagangan Malaysia.

Perkembangan itu meliputi sebanyak 37.4 peratus sumbangan untuk KDNK, 11.7 peratus bagi eksport dan 47.8 peratus bagi jumlah guna tenaga untuk tahun lalu.

Meskipun sumbangan itu bukanlah satu jumlah yang besar, namun ia satu kejayaan buat 1.2 juta PKMS yang turut berdepan cabaran ekonomi domestik dan global yang sukar ditandingi khususnya ketika krisis pandemik Covid-19 sejak 2020.

Kejayaan sektor PMKS itu tentunya lebih sukar tanpa sokongan kerajaan menerusi langkah strategik dari segi dasar, strategi dan bantuan yang dilaksanakan dalam menguruskan krisis sejak Mei 2020.

Ketua Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), Prof. Madya Dr. Mohd Yusof Saari berkata, ketidakstabilan politik sejak awal 2020 ditambah permulaan pandemik Covid-19, telah menyebabkan penguncupan mendadak dalam KDNK Malaysia sebanyak -5.6 peratus pada 2020.

Katanya, perhatian kerajaan kepada PMKS melalui pelbagai pakej rangsangan yang diumumkan sejak permulaan pandemik telah mengurangkan kesan ke atas sektor PMKS, seterusnya membolehkan ekonomi negara meneruskan momentumnya pada 2021.

Artikel Berkaitan:

“Impak tersebut tentunya adalah hasil sumbangan PMKS yang terdiri daripada 97.4 peratus daripada jumlah pertubuhan perniagaan di negara ini.

“Sebanyak RM196 bilion telah diperuntukkan untuk membantu PMKS menangani isu kritikal khususnya dalam pembiayaan, aliran tunai, pengekalan pekerjaan, pembangunan modal insan, serta penggunaan teknologi dan pendigitalan.

“Usaha kerajaan memperkasakan PKMS juga diteruskan menerusi Bajet 2022 apabila memperkenalkan inisiatif Semarak Niaga Keluarga Malaysia (SemarakNiaga) bernilai RM40 bilion demi membantu PMKS bangkit,” jelasnya

Bantuan SemarakNiaga

SemarakNiaga yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Februari, memperbanyakkan akses pembiayaan kepada sektor perniagaan, terutama untuk pengusaha PMKS dan sektor informal.

Ia merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti untuk dimanfaatkan golongan usahawan dan dijangka mampu memulihkan keupayaan perniagaan serta merancakkan lagi sektor PMKS tahun ini.

Perancangan kerajaan untuk PMKS juga meliputi jangka masa panjang apabila menerusi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) kerajaan berikrar memastikan kemakmuran ekonomi, keterangkuman dan kemampanan Malaysia, termasuk mewujudkan ekosistem PMKS yang kondusif dan holistik yang mesra alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Semua ini untuk meningkatkan keupayaan keusahawanan PMKS dan mengukuhkan landskap perniagaan untuk mewujudkan pemain yang berdaya tahan dan berdaya saing di peringkat global,” ujar Mohd Yusof.

Pada 7 Oktober lalu, kerajaan pimpinan Ismail Sabri turut mengumumkan empat inisiatif membabitkan potongan cukai dan kemudahan pinjaman untuk golongan PMKS menerusi Bajet 2023.

Bagi pengurangan kadar cukai pendapatan PMKS, banjaran baharu diwujudkan dan kadar cukai ke atas pendapatan bercukai untuk RM100,000 pertama dikurangkan daripada 17 peratus kepada 15 peratus. 150,000 pembayar cukai PMKS juga ditawarkan penjimatan cukai sehingga RM2,000.

Inisiatif kedua melibatkan geran secara ‘one-off’ sebanyak RM1,000 yang memberi manfaat kepada 1 juta PMKS dan pemandu teksi berdaftar.

Dana SemarakNiaga 2023 bagi inisiatif ketiga pula merangkumi pinjaman langsung, pembiayaan alternatif dan jaminan pembiayaan sebanyak RM45 bilion.

Turut diumumkan, pengecualian duti setem 100 peratus ke atas perjanjian penstrukturan atau penjadualan semula pinjaman atau pembiayaan sehingga tahun 2024.

Reaksi: Pengusaha PMKS

SAIFUL NIZAM
SAIFUL NIZAM



"Sejak tahun 1986 lagi, saya berkecimpung dalam dunia bisnes, namun fasa PKP dan Pandemik Covid-19 adalah paling teruk yang terpaksa dihadapi. Saya benar-benar bersyukur kepada ALLAH kerana perniagaan Ayam Gunting Uncle Best Fried Chicken yang saya usahakan masih bertahan. Bantuan Geran Khas Prihatin untuk PKS turut membantu.” - Pengasas Uncle Best Mart Sdn Bhd, Saiful Nizam Zakaria @ Nordin (SNZ)

"Saya terlibat dalam industri PMKS sejak tahun 90-an lagi. Memang diakui banyak insentif yang diperkenalkan kerajaan menerusi terhadap perniagaan saya sama ada dari segi geran mahupun pembiayaan. Kini saya juga terlibat untuk menawarkan khidmat kursus kepada bakal-bakal usahawan untuk merancakkan lagi industri PMKS negara.” - Pengurus Syarikat Perusahaan Gemilang Raya, Aiza Syafinaz Shahak

MOHAMAD AZMI
MOHAMAD AZMI



"Sepanjang pandemik saya berdepan masalah aliran tunai yang kronik, namun melalui inisiatif yang diterima, situasi sukar ini dapat dilalui. Syarikat saya menerima bantuan melalui program pemulihan ekonomi seperti Program Subsidi Upah 1.0 hingga PSU 3.0 dan menerima semua Geran Khas Prihatin daripada kerajaan." - Pengarah Urusan Kuhot Holdings (M) Sdn Bhd, Mohamad Azmi Ahmad

"Syarikat kami menerima manfaat inisiatif Program Program Subsidi Upah & Geran Baikpulih Hotel Bajet MOTAC 2022. Menerusi insentif ini, sedikit sebanyak ia dapat membantu pemain industri pelancongan dalam negara agar pengusaha kekal bersaing dan bertahan." - Ketua Pegawai Eksekutif 1108 Hotel & Resort Sdn Bhd, Zamari Muhyi.

RAFIKA
RAFIKA

"Ketika awal pandemik Covid-19 dan PKP, jualan agak perlahan dan sukar untuk buat pusingan modal. Saya bersyukur kerana menerima manfaat daripada Geran Khas Prihatin, membolehkan saya menambah stok jualan dan dapat gunakan untuk pusingan modal. Dengan pembukaan ekonomi kembali seperti biasa, dapat merancakkan lagi jualan." - Pengasas, Babyblink Resources, Rafika Yusop.

INFO:

Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS):

- 1.2 juta PKMS berdepan cabaran ketika pandemik.

- Sumbangan PMKS - 97.4 peratus dalam industri perniagaan.

- Bantuan RM196 bilion kepada PMKS.

- Peruntukan SemarakNiaga RM40 bilion menerusi Bajet 2022.