Bisa hatrik Gnabry bantu Bayern benam Bremen

Gnabry (kanan) meledak hatrik ketika membantu Bayern mengalahkan Bremen 6-1 dalam aksi Bundesliga pada Rabu. Foto Agensi.
Gnabry (kanan) meledak hatrik ketika membantu Bayern mengalahkan Bremen 6-1 dalam aksi Bundesliga pada Rabu. Foto Agensi.
A
A
A

BAYERN Munich mempamerkan watak 'sang juara' ketika membelasah Werder Bremen 6-1 untuk memimpin carta Bundesliga pada Rabu.

Kemenangan itu menyaksikan juara bertahan tersebut berkelebihan empat mata mengatasi Freiburg yang akan bertandang ke RB Leipzig awal pagi Khamis.

Pada aksi itu, Serge Gnabry meledak hatrik, selain dua jaringan masing-masing hasil sentuhan Jamal Musiala dan Leon Goretzka untuk Bayern mendahului Bremen 4-1 selepas 28 minit perlawanan.

Gnabry kemudian menyumbat gol ketiga peribadi pada minit ke-82, sebelum pemain muda Perancis, Mathys Tel menyempurnakan kemenangan Bayern lima minit sebelum tamat aksi.

"Kami beraksi cemerlang pada babak pertama. Ia memang hebat dan sebenarnya banyak lagi gol boleh dihasilkan," ujar pemain Bayern Joshua Kimmich.

Di sebalik kejayaan itu, penyerang Bayern dari Senegal, Sadio Mane dikeluarkan pada awal perlawanan kerana mengalami kecederaan kaki.

Jurulatih Bayern, Julian Nagelsmann berkata, status kecederaan Mane masih belum jelas.

"Dia cedera selepas perlanggaran di bahagian tempurung lutut," katanya kepada Sky.

Artikel Berkaitan:

"Kami harap ia tidak teruk, tetapi belum pasti keadaan sebenar buat masa ini," katanya.