Terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak: Calon Bebas

Sabaruddin (tengah) turun berkempen untuk mendekati pengundi di Parlimen Balik Pulau.
Sabaruddin (tengah) turun berkempen untuk mendekati pengundi di Parlimen Balik Pulau.
A
A
A

GEORGETOWN - Calon Bebas bagi Parlimen Balik Pulau, Datuk Sabaruddin Ahmad bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) demi manfaat rakyat di kawasan tersebut.

Sabaruddin yang merupakan anak jati Permatang Pasir, Balik Pulau itu berkata, beliau bersedia untuk menerima panduan dan tunjuk ajar daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd Tuah Bin Ismail, ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz dan ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim.

Katanya, sebagai wakil rakyat bebas, tiada sekatan bagi beliau untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak demi manfaat Balik Pulau.

"Saya mengutamakan masyarakat Balik Pulau dan itulah mantera kerja saya. Walaupun saya berikrar akan meneruskan legasi Datuk Seri Hilmi Yahya untuk membangunkan Balik Pulau seperti menaik taraf jalan raya dari Bayan Lepas, Teluk Kumbar hingga ke Batu Maung, namun saya tiada masalah untuk menerima panduan daripada wakil rakyat PH.

"Saya bersedia untuk menerima tunjur ajar daripada Mohd Tuah (PKR), Azrul Mahathir (Amanah) dan Zolkifly (Bersatu). Semua ini demi masyarakat Balik Pulau," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Graduan kejuruteraan dari Oxford Brookes University, England itu turut mengakui penyandang kerusi Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar daripada PH merupakan saingan hebatnya.

"Calon Bebas seperti saya harus berusaha lebih gigih untuk mendekati para pengundi, menceritakan manifesto dan agenda saya buat Balik Pulau. Ia satu usaha yang amat mencabar. Saya tidak mempunyai parti, tiada cabang dan cawangan seperti parti-parti besar yang lain.

"Semestinya kempen saya mempunyai liku-liku yang sukar. Bukan sekadar calon PH, malah calon PN dan BN juga memberi saingan hebat. Namun saya mengambilnya sebagai satu cabaran.

Artikel Berkaitan:

"Jika ini sebuah cabaran yang perlu saya lalui demi prinsip hidup iaitu Amar Makruf Nahi Mungkar (mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran), saya sanggup melalui ujian-ujian yang bakal mendatang demi Malaysia tercinta," katanya.

Beliau yang kini menjalankan perniagaan makanan dan syarikat teknologi berkata, keluarga dan rakan yang banyak memberi sokongan kepadanya untuk bertanding di kerusi Parlimen Balik Pulau.

"Saya tidak pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya sebelum ini. Selain sokongan keluarga dan rakan, saya terpanggil untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana ingin melihat pembangunan di Balik Pulau. Balik Pulau kini dilihat lesu tanpa sebarang pembangunan selain penduduk dihimpit dengan tekanan kos sara hidup.

"Setiap kali saya bertemu dengan kenalan di sini, mereka sering mengutarakan perkara sama. Mereka inginkan kepimpinan yang boleh memajukan Balik Pulau. Sekiranya saya diberi peluang, sebagai calon Bebas, saya bebas untuk mengkritik, menegur dan menasihati mana-mana parti, tak kira kerajaan Pusat atau kerajaan negeri tanpa terikat dengan perlembagaan parti malah personaliti pimpinan parti," katanya.

Jelas Sabaruddin, beliau akan memfokuskan dalam meningkatkan daya saing, produktiviti, pembangunan industri-industri yang melengkapi kegiatan ekonomi di Balik Pulau.

"Saya akan bantu memperkenalkan benih padi baharu yang mempunyai tuaian yang lebih baik dengan mendapatkan bantuan baja untuk pekebun-pekebun durian di Balik Pulau selain membekalkan peralatan yang lebih moden untuk menambah hasil tangkapan nelayan.

"Saya juga akan berusaha dengan bantuan kerajaan untuk menjalankan projek sangkar ikan pada skala yang lebih besar sekali gus dapat membantu nelayan dengan menjadikan mereka rakan kongsi untuk projek ini.

"Selain itu, saya akan mendapatkan bantuan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk memperkasakan Balik Pulau sebagai salah sebuah lokasi dalam mempertahankan sekuriti bekalan makanan negara. Tidak lupa juga industri pelancongan di Balik Pulau yang mana, aktiviti industri desa, Taman Negara Pulau Pinang, dusun buah-buahan serta rumah-rumah tradisi boleh dijadikan sebagai produk pelancongan," katanya.

Menurutnya, beliau juga akan membantu pelajar cemerlang yang datang daripada keluarga B40 yang tidak menerima sebarang pembiayaan dalam pendidikan.

"Saya juga akan suarakan mengenai isu rumah mampu milik di Balik Pulau. Rumah mampu milik dilihat amat jarang diberi perhatian di sini sehingga penduduk merasakan mereka di anaktirikan oleh pentadbiran sedia ada. Penduduk Balik Pulau memerlukan rumah dalam lingkungan kemampuan mereka dan bukan sekadar fokus kepada rumah dan kondominium mewah sahaja.

"Saya berharap rakyat memberi peluang kepada saya untuk memenangi kerusi Balik Pulau kerana kemenangan saya adalah kemenangan untuk semua pihak. Saya harap rakyat Malaysia meneliti setiap calon dan parti supaya kita boleh menjadikan PRU15 ini sebagai titik permulaan untuk Malaysia hebat," katanya.