Hutang: Lelaki parah dibelasah empat individu

Abdul Rahim Md Din
A
A

KUALA TERENGGANU - Gara-gara hutang RM200, seorang lelaki cedera parah selepas dibelasah empat individu, dalam kejadian di Tepoh, Kuala Nerus, pada Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, mangsa, 35, dari Kampung Banggol Binjai, Tepoh, Kuala Nerus, mengalami kecederaan patah kedua-dua tulang pipi dan bengkak serta luka di seluruh badan akibat dipukul suspek.

Menurut sumber, kejadian berlaku ketika mangsa berada berhampiran Sekolah Kebangsaan Bukit Guntong sebelum dihampiri empat lelaki yang mana dua daripada mereka dikenalinya.

"Tanpa bersoal jawab dan memperkenalkan diri, kesemua suspek terus memukul mangsa tanpa memberitahu sebab musabab kenapa mereka bertindak sedemikian.

"Mangsa yang ketika itu berseorangan tidak mampu untuk melawan dan hanya mampu bertahan semasa dibelasah kumpulan lelaki itu.

"Dalam keadaan lemah dan lesu, mangsa ditinggalkan berseorangan di lokasi, bagaimanapun dia bernasib baik diselamatkan abang iparnya yang secara kebetulan lalu di lokasi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sumber berkata, mangsa seterusnya dihantar mendapatkan rawatan susulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

"Mangsa yakin kejadian itu adalah disebabkan hutangnya tahun lepas yang masih tidak dibayar berjumlah RM200.

"Bimbang kejadian sama berulang lagi, mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Batu Rakit, Kuala Nerus," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din mengesahkan ada menerima laporan kejadian.