TFC waspada jerat KL City

Nafuzi
Nafuzi
A
A
A

TUGAS sukar menanti Terengganu FC (TFC) apabila berdepan penyandang juara, Kuala Lumpur (KL) City FC dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Ahad.

Pengendali TFC, Nafuzi Zain mengakui anak-anak buahnya bakal menghadapi tugas berat di gelanggang lawan itu biarpun mereka berada dalam momentum terbaik selepas menyingkirkan Sri Pahang FC dalam aksi pusingan 16 terbaik sebelum ini.

Menurut Nafuzi, pengendali KL City, Bojan Hodak pastinya telah bersiap sedia dengan barisan skuad utamanya bagi memburu kejayaan sebagai bekalan sebelum menghadapi aksi suku akhir kedua di Gong Badak.

Cabaran suku akhir lebih berat dan sukar untuk TFC kerana kami berdepan KL City iaitu juara Piala Malaysia musim lepas. Tentangan pasti sengit kerana mereka akan berusaha sedaya upaya mempertahankan gelaran itu.

“Rekod kemenangan (ke atas KL City) sebelum ini juga tidak boleh dijadikan ukuran kerana saingan trofi berprestij ini adalah berbeza, tambahan pula (TFC) beraksi di gelanggang mereka.

“KL City juga kini berada dalam keadaan motivasi terbaik selepas berjaya meraih gelaran naib juara Piala AFC 2022 bulan lalu,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kesebelasan utama skuad Penyu pada perlawanan itu nanti, Nafuzi berkata, beliau berkemungkinan besar akan menurunkan barisan pemain utama yang biasa.

Bagaimanapun, Nafuzi memberitahu, terdapat sedikit perubahan di bahagian pertahanan apabila Shahrul Nizam Ros Hasni tidak dapat beraksi selepas menerima layangan kad merah pada pertemuan dengan Sri Pahang FC tempoh hari.

Artikel Berkaitan:

“Ketiadaan Nijey (Shahrul Nizam) memang akan dirasai kerana dia antara tonggak musim ini. Tetapi saya yakin pemain yang diberi peluang beraksi menggantikan dia (Shahrul Nizam) dapat menggalas tugas dengan baik,” jelasnya.

Selain Muhammad Adib Zainuddin, Nafuzi mempunyai beberapa lagi pemain yang boleh menggalas tugasan berkenaan termasuklah Muhamad Hafizal Alias dan pertahanan import TFC II, Argzim Redzovic. - Bernama