PRU15: Polis pantau lima kawasan panas di Kedah

Wan Hassan Wan Ahmad
Wan Hassan Wan Ahmad
A
A
A

PADANG TERAP - Polis Kedah mengenal pasti lima kawasan panas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) iaitu Kota Setar, Langkawi, Kubang Pasu, Sungai Petani dan Baling.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, sebanyak 11 pasukan ‘Op Cantas’ ditugaskan di lima kawasan panas ini bagi memastikan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

Menurutnya, skuad ini akan merakamkan ceramah dan memantau semua calon yang berkempen agar bebas daripada elemen provokasi yang boleh mencetuskan kekacauan.

"Bagi daerah kecil ada satu pasukan perakam tetapi bagi daerah besar seperti Sungai Petani, Alor Setar dan sebagainya kita ada dua pasukan perakam dalam ceramah-ceramah tertentu.

"Kita juga melihat kepada siapa penceramah tersebut yang mana kalau sebelum ini penceramah-penceramah yang datang itu yang dijangkakan membawa isu-isu yang boleh mendatangkan sensitiviti kita akan fokuskan.

"Kita rakam apa isi kandungan dan sebagainya yang boleh membawa kepada masalah dan (jika ada) tindakan lanjut akan diambil," katanya semasa ditemui selepas meninjau Pusat Penamaan Calon di Pejabat Daerah Padang Terap, pada Sabtu.

Jelas Wan Hassan, calon atau penceramah yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

Dalam pada itu, penugasan seramai seramai 2,443 pegawai dan anggota di semua tempat penamaan calon di 15 Parlimen di Kedah berjaya memastikan tiada sebarang insiden atau kekecohan berlaku.

Artikel Berkaitan:

Menurut Wan Hassan, kawalan ketat dilakukan termasuk meletakkan anggota polis di dalam kelompok penyokong yang menyertai perarakan membawa calon ke pusat penamaan calon.

"Kejayaan yang kita nampak hari ini adalah ekoran daripada kawalan kita yang ketat. Kita juga dapat maklumat-maklumat supaya kita dapat cantas daripada awal dan berkesan apabila semua 15 tempat penamaan calon berjalan lancar tidak ada apa insiden yang tidak baik berlaku," ujar beliau lagi.