Guna logo traktor, kontraktor sekali lagi cuba nasib

Ismail Don ketika berkempen pada PRN Johor Mac lepas.
Ismail Don ketika berkempen pada PRN Johor Mac lepas.
A
A
A

MERSING - Meskipun pernah tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lepas, seorang kontraktor di sini mencuba nasib buat kali kedua untuk menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dengan kekal menggunakan logo traktor.

Sanggup mengeluarkan duit sendiri, calon Bebas Ismail Don tidak mahu melepaskan peluang untuk bertanding di kerusi Parlimen Mersing selepas kalah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau pada PRN lepas.

Pada PRN Johor 12 Mac lepas, Ismail, 54, tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) Alwiyah Talib, yang mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 3,041 undi dalam persaingan lima penjuru.

"Kita mahu menyedarkan masyarakat jika parti-parti lain (dilihat) tidak ada tanggungjawab untuk membela nasib penduduk daerah ini selain pemimpin mereka yang mempunyai pelbagai isu panas sehingga menimbulkan kegusaran, rakyat boleh menyuarakannya kepada (calon) Bebas.

"Oleh itu, saya berharap agar diberi peluang untuk menyelesaikan isu yang membelenggu penduduk Mersing sekali gus membawa suara ke Parlimen," kata anak jati daerah itu kepada Bernama selepas proses penamaan calon di Pejabat Daerah Mersing pada Sabtu.

Antara perkara yang akan diberi perhatian olehnya ialah isu Jambatan Mersing yang sering mengalami kesesakan setiap kali musim perayaan dan cuti umum, jaringan jalan yang selalu rosak hingga dipercayai menyebabkan kemalangan serta isu peneroka.

Ismail, yang juga menggunakan logo traktor pada PRN, akan bersaing dengan empat lagi calon dalam pertandingan lima penjuru melibatkan bekas Exco Johor Datuk Abd Latif Bandi yang mewakili Barisan Nasional (BN), Setiausaha Politik penyandang kerusi Parlimen Mersing Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad iaitu Muhammad Islahuddin Abas (PN), Nurfatimah Ibrahim dari Pejuang dan calon PH Fatin Zulaikha Zaidi.

Pada PRU14, Abdul Latiff yang bertanding atas tiket BN ketika itu, memenangi kerusi Parlimen Mersing dengan memperoleh 19,806 undi untuk menewaskan dua pencabarnya dari Pas dan PKR.

Bagaimanapun, beliau yang menyandang kerusi Parlimen itu sejak 1999, keluar UMNO pada Disember 2018 dan menyertai Bersatu pada Februari 2019.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 19 November manakala pengundian awal pada 15 November. - Bernama