Konvoi #RasuahBusters seru rakyat undi calon bebas rasuah

Konvoi bermotosikal membawa mesej bebas rasuah ketika penamaan calon di Kelantan.
Konvoi bermotosikal membawa mesej bebas rasuah ketika penamaan calon di Kelantan.
A
A
A

KOTA BHARU - #RasuahBusters ‘berkibar’ sempena penamaan calon di negeri ini pada Sabtu bagi menyeru rakyat mengundi calon berintegriti tinggi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Pengerusi #RasuahBusters Kelantan, Dr Abdul Karem Zaidan Ab Aziz berkata, mesej disampaikan melalui konvoi 80 motosikal yang menjelajah ke enam daerah bermula jam 8 pagi sehingga 5 petang.

“Kami bermotosikal di sekitar pusat-pusat penamaan calon di Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh dan Bachok dengan membawa risalah #RasuahBusters, Satu Jari Bebas Rasuah.

“Dua matlamat utama menerusi jelajah ini adalah mengajak rakyat untuk beramai-ramai keluar mengundi dan kedua, mengundi calon yang menolak rasuah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.