Azli sedia lakukan ujian RBTag

Azli
Azli
A
A
A

SHAH ALAM - Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Shah Alam, Azli Yusof memberi jaminan untuk membebaskan negara dari isu rasuah sekali gus menjadi tonggak kepada gabungan itu sekiranya diberi mandat mentadbir negara.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor itu menegaskan, pemimpin yang terpalit isu rasuah akan merugikan negara selain mencemarkan integriti parti yang disertai.

“PH akan sentiasa pastikan negara ini bebas daripada pemimpin yang mengamalkan rasuah dan (perkara itu) akan menjadi jaminan kita apabila mentadbir kerajaan.

“Kita sudah lihat pentadbiran PH di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang bebas rasuah. Kali ini jika dipilih, kita akan pastikan negara ditadbir dengan bermaruah seterusnya tidak mengamalkan rasuah,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sementara itu ditanya mengenai kesediaannya untuk menjalani ujian psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag) bagi mengukur tahap integriti, Azli menjelaskan, beliau sentiasa bersedia pada bila-bila masa sekiranya disaran untuk lakukan ujian tersebut.

“Tidak ada masalah, saya sedia membuat ujian tersebut pada bila-bila masa,” ujarnya ringkas.

RBTag merupakan inisiatif pasukan Rasuah Busters bersama Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) yang menilai berdasarkan data saintifik dengan kadar kebolehpercayaan sehingga 90 peratus.

Ia akan mengukur 10 ciri integriti iaitu spiritualiti, manipulasi, egoistik, projeksi, oportunis, integriti, jati diri, patriotisme, individualistik dan ketidakselarasan.

Artikel Berkaitan:

Penggunaan ujian psikometrik RBTag itu merupakan amalan yang lazim digunakan di negara yang berada di kedudukan 20 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) antaranya Denmark, Finland, New Zealand, Sweden dan termasuk negara jiran, Singapura.