Sabah FC elak jerat Kuching City

Ong Kim Swee
Ong Kim Swee
A
A
A

PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui bukan tugas mudah berdepan Kuching City FC kendalian Irfan Bakti Abu Salim pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Negeri, Kuching, Sabtu ini.

Malah, Kim Swee percaya, jurulatih berpengalaman itu telah merangka strategi khas bagi mencipta satu lagi kejutan selepas menyingkirkan pasukan pilihan Penang FC sebelum ini.

“Irfan sudah tentu mempunyai perancangan yang tersendiri untuk tewaskan kami. Seperti kita tahu, dia seorang jurulatih yang berpengalaman dan tahu taktikal atau corak permainan sesuai untuk digunakan dalam satu-satu per-lawanan.

Kuching City bermain secara berpasukan, mempunyai semangat juang dan terbukti ketika berdepan Penang FC.

“Mereka kembali lebih gagah, bermain sehingga tamat dan menjaringkan gol pada masa kecederaan dengan begitu taktikal.

“Jadi, bagi saya ia bukan satu tugas yang mudah untuk menang ke atas Kuching City walaupun ramai orang lihat kami sebagai sebuah pasukan yang menduduki tangga ketiga Liga Super. Justeru, saya berharap para pemain akan menampilkan aksi terbaik pada perlawanan ini,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya persiapan pasukannya, Kim Swee mengakui The Rhinos sedikit tempang selepas kehilangan beberapa pemain import susulan kecederaan dan penggantungan.

Menurut Kim Swee, antara pemain yang tidak dapat diturunkan menentang Kuching ialah pemain pertahanan Brazil, Jackson de Souza dan pemain pertahanan Korea, Park Tae-soo yang cedera, selain Rawilson Batuil yang digantung (dua kad kuning).

Artikel Berkaitan:

“Kami mungkin bermain dengan pemain yang sama daripada dua perlawanan sebelum ini.

“Bukan mudah untuk bermain di Kuching kerana mereka terbukti kuat menentang pasukan besar seperti Pulau Pinang, jadi apa sahaja boleh berlaku,” kata Kim Swee.

PIALA MALAYSIA

Suku Akhir Pertama

SABTU (5 NOVEMBER)

Kuching City FC lwn Sabah FC

(Stdm Negeri, 8.15 malam)

Kelantan FC lwn JDT

(Stdm Sultan Muhammad IV, 9 malam)

AHAD (6 NOVEMBER)

Selangor FC lwn Negeri Sembilan FC

(Stdm Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 9 malam)

Kuala Lumpur City lwn Terengganu FC

(Stdm Bola Sepak Kuala Lumpur, 9 malam)