Enam warga Nepal merusuh dengan senjata ditahan

Tok Beng Yeow
Tok Beng Yeow
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai enam lelaki warganegara Nepal ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian merusuh di Kawasan Perindustrian Kulai 2, dekat sini, Isnin lalu.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.21 pagi itu turut mengakibatkan kecederaan seorang mangsa yang juga warganegara berkenaan disyaki akibat dipukul kumpulan suspek terbabit dengan menggunakan kayu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 23 hingga 26 tahun itu ditahan menerusi serbuan di sebuah premis di Jalan Indahpura 4, Kulai, semalam.

"Sebelum serbuan dilakukan, polis terlebih dahulu menahan dua suspek yang membawa kepada penahanan empat lagi suspek di Indahpura, Kulai.

"Hasil soal siasat, kesemua suspek telah mengaku terlibat dalam kes ini," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beng Yeow berkata, berdasarkan siasatan awal, polis mendapati kesemua suspek dan mangsa mengenali antara satu sama lain malah turut bekerja di tempat yang sama sebagai operator kilang.

Menurutnya, kejadian disyaki berlaku akibat perasaan tidak puas hati dan dendam peribadi antara kumpulan suspek dan mangsa berkenaan.

"Mengenai kes ini, mangsa memaklumkan dirinya ketika kejadian dia sedang menunggu untuk berjumpa rakannya sebelum didatangi sekumpulan lelaki terbabit," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata.