Shuib 'restu' ayah masuk Pas

Bapa kepada pelawak, pelakon dan penyampai radio, Shuib, Muhamad Arshad menyertai Pas selepas tertarik dengan gerak kerja kebajikan parti itu di kawasan Bagan Serai.
Bapa kepada pelawak, pelakon dan penyampai radio, Shuib, Muhamad Arshad menyertai Pas selepas tertarik dengan gerak kerja kebajikan parti itu di kawasan Bagan Serai.
A
A
A

BAGAN SERAI - Lebih dua tahun terlibat dalam aktiviti kebajikan bersama Pas telah membuka hati bapa kepada pelawak, pelakon dan penyampai radio, Shuib menyertai parti Pas.

Muhamad Arshad, 65, sebelum ini merupakan Setiausaha UMNO Cawangan Parit Haji Ali dan telah bersama parti itu sejak lebih 30 tahun.

Ketika ditemui, Muhamad berkata, keputusannya untuk menyertai Pas dibuat kerana berasakan gerak kerja jentera parti itu dalam hal kebajikan rakyat terutama di kawasan Bagan Serai, 'kena' dengan jiwanya.

Menurutnya, kesempatan itu memberinya lebih ruang untuk sama-sama terlibat dan menyumbang serta membantu komuniti setempat yang dalam kesusahan.

"Semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dulu, saya banyak ikut Pas beri sumbangan kampung ke kampung, sampaikan bantuan banjir dan bantu dapatkan keperluan orang susah.

"Nampak kelompok dalam Pas ini sangat akrab, sebab itu saya buat keputusan sertai Pas supaya dapat bantu lebih ramai lagi," katanya ketika ditemui pada Majlis Munajat Perdana dan Pelancaran Calon Pas di Parlimen Bagan Serai di Tapak Pasar Alor Pongsu di sini pada Khamis.

Borang keahlian Muhamad telah diserahkan kepada Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria.

Bekas tentera berpangkat koperal itu memaklumkan, keputusannya menyertai Pas telah dimaklumkan kepada anaknya, Shuib dan diterima baik.

Artikel Berkaitan:

"Shuib tahu. Dia tidak kisah dan mengatakan terpulanglah kepada saya.

"Selama ini pun mana-mana bantuan yang saya sampaikan kepada penduduk, datangnya daripada dia juga," katanya.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad yang sebelum ini dikenali sebagai pelawak dan pelakon telah menjadi antara figura usahawan berjaya.

Beliau memilih untuk berbakti semula kepada masyarakat menerusi Yayasan Bubble Bee yang ditubuhkan sejak lebih enam bulan lalu.