Dulu Melaka United, kini Harimau Melaka

Nur Azmi
Nur Azmi
A
A
A

TERSINGKIR daripada saingan Liga Super edisi 2023 bukan noktah buat Melaka United FC apabila skuad Hang Tuah itu tampil berwajah baharu musim depan dan dikenali dengan nama Harimau Melaka FC.

Penjenamaan dan penstrukturan semula Melaka United akan turut melibatkan pertukaran nama Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) kepada Persatuan Bola Sepak Amatur Melaka (MAFA).

Presiden MUSA, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, pembaharuan struktur serta pembentukan semula pasukan giat dilakukan dan dijangka selesai dalam tempoh terdekat.

Justeru, beliau berkata, skuad baharu tersebut yang dibarisi para pemain tempatan akan beraksi dalam saingan liga amatur - Liga M3 dan mereka dijangka memulakan latihan pada Disember depan.

“Lupakan cerita lama, buka buku baharu. Jenamakan semula pasukan sebagai Harimau Melaka FC. Ada yang mahu kekal bersama kita dan pasukan dibarisi pemain tempatan.

“Sudah ada beberapa nama, cuma belum pasti sama ada mahu pilih jurulatih tempatan atau import. Kita buat persiapan awal dan mereka dijangka mula berlatih awal bulan depan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) baru-baru ini menolak rayuan Melaka United untuk mendapatkan lesen kebangsaan ekoran kegagalan mereka memenuhi syarat yang ditetapkan.

Turut tersingkir daripada saingan Liga Super ialah Sarawak United FC walaupun tempoh seminggu diberikan badan First Instance Body (FIB) untuk kedua-dua pasukan itu menyerahkan dokumen berkaitan.

Artikel Berkaitan:

Menurut Nur Azmi, sebagai permulaan, pihaknya memperuntukkan bajet sebanyak RM1.5 juta dengan menyasarkan untuk kembali ke Liga Super pada musim 2024 dan anggaran perbelanjaan boleh mencecah antara RM5 hingga RM7 juta.

“Kita perlu muncul juara Liga M3 musim depan untuk ke Liga Super pada 2024. Kebajikan pemain akan dijaga dengan baik termasuk pembayaran gaji serta insentif lain termasuk bonus kemenangan.

“Fasiliti termasuk stadium sudah ada dan kita percaya pada tahun 2024 Harimau Melaka FC kembali beraksi di Liga Super,” jelasnya yang secara rasmi menerajui MUSA pada 4 Ogos lalu.

Dalam pada itu, Nur Azmi memberitahu, pihaknya akan mengutus surat kepada Melaka United yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Justin Lim untuk memaklumkan mengenai perkara berkaitan kelab tersebut.

“Lesen kelab mereka masih boleh guna, namun nama pasukan perlu ditukar... tidak boleh lagi guna Melaka United FC,” ujarnya yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).