'Ada tak kena jika tak berani isytihar harta' - Rafizi

Rafizi berucap sempena Jelajah Trak Ayuh Malaysia di Padang Taman Bandar Baru, Sungai Lalang pada Rabu.
Rafizi berucap sempena Jelajah Trak Ayuh Malaysia di Padang Taman Bandar Baru, Sungai Lalang pada Rabu.
A
A
A

MERBOK - Pengisytiharan harta oleh ahli politik adalah langkah wajar bagi memastikan wakil rakyat yang dipilih adalah berintegriti, bersih dan telus.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, sekiranya terdapat mana-mana ahli politik yang enggan mengisytiharkan harta yang dimiliki, kemungkinan terdapat sesuatu yang cuba diselindungkan.

"Kamu nak masuk politik, sembang sana sini...cara cakap, cara sembang nampak baik sangat tetapi kalau tidak berani isytihar harta, ada benda yang tak kena," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Jelajah Trak Ayuh Malaysia di Padang Taman Bandar Baru, Sungai Lalang pada Rabu.

"Semua kena isytihar harta, orang luar kena faham kenapa orang politik tak suka dengan saya, sebab saya bagaikan guru disiplin.

"Hari ni saya isytihar harta, saya nak buktikan lepas 2018, orang duk tanya kenapa kau masuk 'gua'...sebab niat dari awal ialah untuk membantu rakan-rakan politik.

Orang ramai yang hadir ke Program Jelajah Trak Ayuh Malaysia di Padang Taman Bandar Baru, Sungai Lalang pada Rabu.
Orang ramai yang hadir ke Program Jelajah Trak Ayuh Malaysia di Padang Taman Bandar Baru, Sungai Lalang pada Rabu.

"Saya orang korporat, saya sertai PKR semasa berada di London dan melihat apa yang berlaku pada Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu menunjukkan bahawa pentadbiran negara semakin rosak.

Artikel Berkaitan:

"Semua sudah digerakkan untuk memfitnah hanya seorang dan ketika itu merupakan timbalan perdana menteri, apa akan jadi pada rakyat biasa?," dakwanya.

Sebelum ini, Astro Awani melaporkan, Rafizi menjadi calon pertama Pilihan Raya Umum (PRU15) mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta.

Laporan sama menyebut, pengisytiharan harta oleh calon-calon PKR yang lain turut akan dipaparkan di laman www.calonkeadilan.org.

Difahamkan, pada majlis pengumuman calon PKR, kesemua calon menandatangani borang aku janji.

Borang tersebut melibatkan persetujuan untuk memulangkan wang deposit pencalonan, memotong elaun sekiranya menjadi wakil rakyat, serta mengisytiharkan harta.