Kutipan zakat ZPP terus meningkat

Penganjuran pelbagai program berjaya beri impak tinggi ke atas kutipan zakat

A
A
A

Orang ramai juga boleh tunai zakat di kios yang disediakan oleh ZPP.
Orang ramai juga boleh tunai zakat di kios yang disediakan oleh ZPP.

PULAU PINANG - Zakat Pulau Pinang (ZPP) tak putus-putus mengadakan pelbagai program bagi meningkatkan kesedaran dan memupuk budaya berzakat dalam kalangan umat Islam di negeri itu.

Buktinya lebih 20 program telah disusun sempena Kempen Bulan Zakat Pulau Pinang 2022 yang akan bermula hari ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Datuk Amran Hazali, penganjuran pelbagai program itu bertujuan untuk memastikan berlakunya peningkatan kepada kutipan zakat bagi tahun ini.

“Alhamdulillah tahun ini merupakan penganjuran kali keempat kempen bulan zakat, malah hasil daripada penganjuran sebelum ini kita dapat lihat peningkatan jumlah kutipan dan jumlah pembayar zakat.

“Sebagai contoh pada tahun 2021, jumlah kutipan zakat keseluruhan sebanyak RM14.147 juta iaitu meningkat sebanyak 12.5 peratus berbanding kutipan zakat pada tahun 2020.

“Ia meliputi semua segmen kutipan melalui zakat pendapatan, zakat perniagaan, zakat KWSP, zakat saham, zakat emas dan perak, zakat tanaman dan Qada’ Zakat. Cuma zakat ternakan dan zakat galian sahaja yang mengalami penurunan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

AMRAN
AMRAN



Kata beliau, seperti penganjuran Bulan Zakat 2022, ia seperti ‘ibu’ kepada segala aktiviti-aktiviti utama yang dilakukan oleh ZPP dengan misi untuk memberikan impak tinggi kepada usaha kutipan zakat.

“Dalam penganjuran kempen bulan zakat kali ini, mungkin ada sedikit kelainan kerana kita jayakan bersama misi dan visi dalam agenda Khaira Ummah 2030 di mana ZPP telah diberi tanggungjawab memimpin teras ekonomi untuk meningkatkan sosioekonomi ummah.

“Sebab itulah, kita bakal berikan penekanan untuk membawa masyarakat Islam khususnya bersama kerajaan negeri dalam merealisasikan gagasan Khaira Ummah 2030 ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Amran berkata, majlis pelancaran Kempen Bulan Zakat Pulau Pinang 2022 akan diadakan pada hari ini di Masjid Daerah Seberang Perai Utara di Teluk Air Tawar.

Aktiviti kempen

Bagi menarik minat orang ramai menyokong program bulan zakat itu, ZPP menyediakan banyak aktiviti menarik seperti temu ramah bersama Ketua Pegawai Eksekutif ZPP di saluran media arus perdana, pelancaran klinik panel asnaf, majlis serahan dermasiswa dan bantuan permulaan ke IPT 2022 serta program memorandum persefahaman (MoU) bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Jelas Amran, turut diadakan tayangan video ikon asnaf melalui slot Majalah 3 yang akan disiarkan pada 14 November, hi-tea bersama majikan, pelancaran farmasi panel & serahan geran hospital, forum zakat dan kembara dakwah.

Orang ramai boleh menunaikan zakat di kaunter bergerak Zakat Pulau Pinang.
Orang ramai boleh menunaikan zakat di kaunter bergerak Zakat Pulau Pinang.

“Kita juga akan mengadakan pelancaran program ‘WOW’ untuk kempen jenis-jenis zakat, program bersama Mutiara Program Didik Cemerlang Akademik, taklimat Perkeso dan Pemasaran, Majlis Pelancaran Program Pemeriksaan dan Pembaikan Pendawaian Elektrik Rumah Asnaf.

“Selain itu, kempen bulan zakat kali ini turut diadakan ziarah kasih asnaf, MoU klinik bergerak bersama hospital KPJ, My Dhuha Time, Certificate of Collaboration bersama Politeknik Seberang Perai, majlis perasmian ladang fertigasi asnaf, hi-tea pembayaran zakat korporat dan pelancaran direktori zakat perniagaan,” katanya.

Mengulas mengenai aktiviti yang diadakan, Amran berkata, setiap program mempunyai misi yang perlu disampaikan kepada masyarakat antaranya berkaitan penyediaan perkhidmatan berkualiti bagi memudahkan urusan pembayaran zakat dan pengagihan zakat secara telus dan efektif.

Jelasnya, ZPP juga ingin menyatakan komitmen dalam memastikan amanah muzzaki dijaga dan hak asnaf sentiasa dibela melalui pendekatan maqasid syariah.

Selain itu tambahnya, ZPP juga ingin membuktikan iltizam untuk memperkasakan asnaf melalui skim bantuan dan agihan zakat yang bukan sahaja memberi kemudahan dalam kehidupan, malah akan mengubah mereka untuk menjadi pembayar zakat pada masa akan datang.

No Image Caption

Sementara itu, beliau berkata, dengan penganjuran Kempen Bulan Zakat Pulau Pinang 2022 ini diharapkan akan dapat meningkatkan lagi kesedaran orang ramai untuk berzakat dan menjana lebih banyak kutipan.

Beliau turut berharap melalui penganjuran program sebegini akan mewujudkan keseimbangan jurang sosioekonomi dalam kalangan umat Islam selari dengan agenda Khaira Ummah 2030 agar kecemerlangan ummah di Pulau Pinang seiring dengan kesejahteraan dan kemakmuran di negeri.