Jangan bereksperimentasi dengan undi: Tok Mat

Mohamad Hasan ketika hadir pada Pelancaran Jentera Barisan Nasional Negeri Johor di Stadium Tertutup Kompleks Educity pada Rabu. - Foto Bernama
Mohamad Hasan ketika hadir pada Pelancaran Jentera Barisan Nasional Negeri Johor di Stadium Tertutup Kompleks Educity pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A
ISKANDAR PUTERI - Jentera BN diingatkan supaya menemui seramai mungkin pengundi dan menyampaikan mesej kepada rakyat mengenai rekod prestasi BN.

Timbalan Pengerusi BN,Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, jentera parti juga perlu mengingatkan pengundi supaya tidak bereksperimentasi dengan undi dan memperjudikan masa depan negara seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Temuilah seramai mungkin pengundi di tempat kita. Temuilah mereka dan terangkan kepada mereka (supaya) bagi kami (BN) mandat, bagilah parti yang telah mempunyai rekod prestasi yang baik.

Rekod prestasi yang telah terbukti dapat menguruskan negara. Cukup-cukuplah membuat eksperimen kerana eksperimen itu membuatkan kita (rakyat) hidup sengsara pada hari ini," katanya ketika berucap melancarkan jentera BN Johor di Stadium Tertutup Educity di sini, malam Rabu.

Mohamad Hasan turut mengingatkan supaya jentera parti dapat diurus dengan baik bagi menangkis segala dakwaan parti lawan.

"(Parti lawan) lagi nak jual temberang di sana sini, (kononnya) dialah yang paling baik menguruskan negara. Untuk BN, tidak perlulah kita bercakap buruk tentang orang, rakyat boleh menilai. Yang penting, kita balik ke kawasan masing-masing selepas ini, urusan jentera perlu (diurus) dengan baik,” katanya.

Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya BN, turut mengulangi sasaran yang ditetapkan kepada BN Johor untuk memenangi sekurang-kurangnya 20 daripada 26 kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada PRU15 ini.

Turut hadir Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi. - Bernama

Artikel Berkaitan: